fb fb fb fb fb

Parlimen Greece dijangka lulus undang-undang bekerja 13 jam sehari

Foto AFP

ATHENS, 15 Oktober -Parlimen Greece dijangka meluluskan pada Rabu satu undang-undang kontroversi yang membenarkan pekerja bekerja sehingga 13 jam sehari dalam keadaan tertentu, sekali gus mencetuskan bantahan hebat daripada kesatuan sekerja dan parti pembangkang.

Undang-undang tersebut dijangka diluluskan dengan mudah kerana parti pemerintah konservatif memiliki majoriti 156 daripada 300 kerusi di parlimen.

Kesatuan sekerja telah mengadakan dua mogok umum sepanjang bulan ini bagi membantah reformasi buruh tersebut, termasuk satu protes besar-besaran yang berlangsung pada Selasa.

Kerajaan mempertahankan langkah itu dengan menyatakan bahawa pelanjutan waktu kerja adalah secara sukarela, hanya melibatkan sektor swasta, dan terhad kepada maksimum 37 hari dalam setahun.

"Ia memerlukan persetujuan pekerja," kata Menteri Buruh, Niki Kerameus, dalam satu temu bual bersama stesen Skai TV pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat permintaan daripada beberapa pihak untuk melanjutkan waktu kerja melebihi had itu, namun telah ditolak.

Reformasi itu disasarkan terutamanya kepada sektor perkhidmatan, terutamanya ketika musim pelancongan musim panas yang sibuk, bagi membolehkan majikan mengelak daripada mengambil pekerja tambahan.

Namun, pembangkang dan kesatuan sekerja memberi amaran bahawa pekerja akan berisiko kehilangan pekerjaan jika enggan menerima waktu kerja yang lebih panjang.

"Kesihatan mental dan fizikal kami, serta keseimbangan antara kehidupan peribadi dan pekerjaan, adalah nilai yang tidak boleh digantikan dengan wang," kata pemimpin kanan kesatuan sektor awam ADEDY, Stefanos Chatziliadis.

Mengikut undang-undang semasa, waktu kerja harian di Greece adalah lapan jam, dengan kemungkinan kerja lebih masa dibayar.

Kerajaan Greece sebelum ini turut meluluskan undang-undang yang membenarkan minggu kerja enam hari dalam sektor tertentu, terutama yang menghadapi permintaan tinggi seperti pelancongan. - AFP

TETITIA YUSOFF