MOSCOW, 16 Mei- Parlimen Finland dan Sweden akan membincangkan laporan kerajaan berkaitan proses permohonan negara itu menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hari ini, lapor Sputnik.
Di Finland, Perdana Menteri Sanna Marin akan membentangkan laporan Penyertaan Finland ke NATO, diikuti perbahasan di parlimen.
“Sekiranya terdapat cadangan yang berbeza ketika perbahasan dan disokong, ia akan dikemukakan ketika sesi undian pada akhir sesi,” menurut kenyataan Parlimen Finland.
Sementara itu, Parlimen Sweden akan mengadakan perbincangan khas Laporan Dasar Keselamatan yang akan dibentangkan Perdana Menterinya Magdalena Andersson.
"Seorang wakil dari setiap parti boleh mengambil bahagian dalam perbahasan. Ucapan tidak lebih 10 minit," menurut Parlimen Sweden.
(Perdana Menteri Finland, Sanna Marin)
Finland menjangkakan perbahasan akan berlanjutan sehingga esok, manakala akhbar Sweden Expressen pada Jumaar melaporkan, ketua Kabinet Sweden akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk memuktamadkan mengenai keahlian NATO hari ini.
Finland dan Sweden mempertimbangkan rancangan menyertai NATO sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari.
Pada Mac, Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berkata pakatan itu akan mempercepatkan permohonan keahlian Finland dan Sweden jika kedua-dua negara itu memutuskan untuk menyertai NATO.