PARIS, 30 Mei- Satu imej janaan kepintaran buatan (AI) menampilkan slogan ‘All eyes on Rafah’ atau ‘semua mata tertumpu pada Rafah’ dikongsi dalam 44 juta akaun Instagram sejak Isnin lalu selepas serangan kejam Israel t ke atas kem diduduki penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar Gaza.
Imej itu memaparkan deretan khemah sejauh mata memandang di sebuah gurun berlatarbelakangkan gunung-ganang. Ia secara tidak langsung merujuk kepada beratus-ratus ribu penduduk Palestin yang melarikan diri ke Rafah semasa kempen ketenteraan Israel terhadap Hamas.
Pelakon Chile-Amerika Syarikat (AS), Pedro Pascal serta model terkenal berketurunan Palestin, Bella dan Gigi Hadid, bintang bola sepak Perancis, Ousmane Dembele antara selebriti yang berkongsi #tanda pagar itu di Instagram.
Slogan 'All eyes on Rafah' juga dikongsi secara meluas dalam penerbitan dan rangkaian sosial lain, terutamanya di platform media sosial X, di mana hashtag #alleyesonrafah menarik hampir satu juta perkongsian (hits), menurut pemantau dalam talian Visibrain.
Platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter itu turut menyaksikan 27.5 juta mesej disiarkan dalam masa tiga hari mengenai serangan ke atas Rafah yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, serangan Israel ke atas kem itu pada Ahad itu mencetuskan kebakaran hingga membunuh 45 orang dan mencederakan 249 mangsa lain.
Tentera Israel berkata, pihaknya menyasarkan dan berjaya membunuh dua pejuang kanan Hamas dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu bercakap mengenai 'kemalangan tragis' yang sedang disiasat oleh kerajaannya.
Perang Gaza paling maut dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan yang mengakibatkan kematian 1,189 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Kumpulan perjuang itu turut mengambil 252 tebusan, 121 daripadanya masih di Gaza, termasuk 37 orang yang dikatakan tentera Israel sudah mati.
Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 36,171 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas. - AFP