fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar 10 peluru berpandu jarak dekat

Foto diambil pada 10 Mei 2024 menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sedang memeriksa sistem pelancar roket berbilang 240mm di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara/ AFP

SEOUL, 30 Mei- Korea Utara dipercayai telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat pada awal hari ini, lapor tentera Seoul.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan menyatakan pihaknya mengesan sekurang-kurangnya 10 peluru berpandu yang dilancarkan ke bahagian timur perairan Semenanjung Korea.

Peluru berpandu yang disyaki itu ditembak dari kawasan Sunan berhampiran Pyongyang pada 6.14 pagi Khamis (2114 GMT pada hari Rabu) dan terbang kira-kira 350 kilometer (km) sebelum jatuh di laut, kata tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Menurut Seoul, pelancaran peluru berpandu itu adalah satu "provokasi serius yang mengancam keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea".

Pasukan pengawal pantai dan Pejabat Perdana Menteri Jepun turut mengesahkan pelancaran tersebut dan sedang memantau perkembangan.

Pada Rabu, Pyongyang melepaskan beberapa belon yang mengandungi sampah, kertas tandas dan apa yang disyaki adalah najis haiwan di Korea Selatan.

Ia menyebabkan tentera Seoul mengutuk Pyongyang atas tindakan "tidak bertamadun" itu.

Korea Utara telah mengeluarkan amaran pada hujung minggu lalu bahawa ia akan membanjiri beberapa kawasan dekat sempadan yang memisahkan kedua-dua negara dengan "timbunan sampah dan kotoran" untuk menghukum Seoul.

Kim Yo Jong, saudara perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengejek Seoul kerana mengadu tentang belon tersebut dan berikrar akan melakukan lebih banyak tindakan sedemikian.

Pelancaran peluru berpandu balistik itu dilakukan beberapa hari selepas Korea Utara cuba menempatkan satelit perisik ke orbit, yang berakhir dengan letupan di udara pada Isnin lalu.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI