fb fb fb fb fb

Palestin-Israel: Pelan damai masih samar

(Seorang penunjuk perasaan Palestin membawa sepanduk bertulis "Jerusalem adalah ibu kota
Palestin yang kekal" semasa perhimpunan membantah lawatan Presiden AS Joe Biden ke Israel,
di Gaza City pada 14 Julai 2022/AFP)

BAITUL LAHAM, 15 Julai- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tidak menawarkan sebarang cadangan baharu mengenai rundingan damai Palestin-Israel walaupun menyatakan komitmen untuk konflik yang tercetus sejak beberapa dekad lalu.

Sebelum Biden berlepas ke Arab Saudi, beliau melawat sebuah hospital di Baitulmaqdis Timur dan menjanjikan pakej bantuan kewangan dan teknikal bernilai AS$100 juta (RM444.9 juta) selama beberapa tahun.

Namun, selepas pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di bandar ini, Tebing Barat, beliau mengakui bahawa penciptaan negara Palestin yang merdeka kekal tanpa prospek segera untuk mengadakan rundingan damai dengan Israel.

"Walaupun pada masa ini seakan belum ada usaha memulakan semula rundingan, AS dan pentadbiran saya tidak akan berputus asa untuk cuba merapatkan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Abbas berkata, prospek penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik itu, model yang digemari oleh AS dan badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin jauh dan peluang itu mungkin tidak kekal untuk masa yang lama.

"Bukankah sudah tiba masanya untuk perkara ini berakhir," katanya yang mengulangi tuntutan supaya AS membuka sebuah konsulat di Baitulmaqdis Timur, Palestin sebagai ibu negara merdeka, mengeluarkan Pertubuhan Pembebasan Palestin daripada senarai kumpulan pengganas dan membenarkannya membuka semula pejabat di Washington.

Beliau juga meminta sokongan AS untuk membawa ke muka pengadilan pembunuh wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, seorang warga Palestin-Amerika yang terbunuh semasa serbuan Israel di bandar Jenin Tebing Barat.

(Presiden AS, Joe Biden melambai tangan sebelum berlepas ke Arab Saudi dari
Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv, Israel/REUTERS)


Biden mengakui bahawa selepas bertahun-tahun percubaan gagal untuk menyelesaikan konflik, rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza terus menderita.

"Anda boleh merasakan ... kesedihan dan kekecewaan," katanya.

Selain bantuan kewangan untuk hospital Baitulmaqdis Timur, beliau akan mengumumkan langkah untuk menaik taraf rangkaian telekomunikasi di Tebing Barat dan Gaza kepada standard 4G menjelang akhir tahun depan dan langkah lain untuk memudahkan perjalanan antara Tebing Barat dan negara jiran Jordan.

Selain itu, ada pakej pembiayaan berasingan AS$201 juta (RM894 juta) yang disediakan melalui agensi bantuan PBB UNRWA untuk membantu pelarian Palestin. - REUTERS

Media Baharu