ISLAMABAD, 6 Disember- Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, yang kini dipenjarakan, telah menggesa penyokongnya untuk mengadakan perhimpunan minggu depan dan mengancam untuk melancarkan gerakan ketidakpatuhan awam.
Tindakan tersebut dilakukan beberapa hari selepas partinya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), mengetuai perarakan protes berdarah di sini.
Menerusi hantaran di platform X pada Khamis, Imran menggesa penyokongnya untuk berhimpun pada 13 Disember di bandar Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang diperintah oleh parti PTI.
Imran menuntut siasatan kehakiman terhadap tindakan keras pihak berkuasa semasa perarakan protes pada 25 November lalu, yang menurutnya telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 penyokongnya.
Beliau turut mendesak siasatan terhadap keganasan pada 9 Mei tahun lepas yang meragut nyawa lapan orang.
Selain itu, Imran turut menggesa pembebasan semua pekerja politik yang ditahan.
“Jika kedua-dua tuntutan ini tidak dipenuhi, gerakan ketidakpatuhan awam akan dimulakan pada 14 Disember, dan kerajaan akan bertanggungjawab atas sebarang akibat,” tegas Imran.
Sementara itu, Kerajaan Pakistan, bagaimanapun, menafikan sebarang kematian berlaku semasa perarakan protes pada 25 November dan mendakwa penyokong Imran telah menyerang kemudahan ketenteraan pada 9 Mei tahun lalu.
Pada hari yang sama, Imran didakwa atas tuduhan mengarahkan serangan pada 9 Mei itu, tetapi beliau menafikan tuduhan itu.
Pendakwaan tersebut merupakan salah satu daripada puluhan kes yang dihadapkan ke atas bekas bintang kriket berusia 72 tahun itu, yang telah dipenjarakan sejak akhir tahun lalu.
Imran dan partinya mendakwa kes-kes tersebut direka-reka untuk menghalangnya daripada kembali ke arena politik atas arahan pihak tentera selepas hubungan beliau dengan pihak tentera merosot menjelang penyingkirannya pada tahun 2022.-REUTERS.