fb fb fb fb fb

Indonesia, Filipina tandatangani perjanjian penghantaran pulang Mary Jane Veleso

Foto REUTERS

JAKARTA, 6 Disember- Indonesia dan Filipina telah menandatangani perjanjian pada Jumaat berhubung penghantaran pulang Mary Jane Veloso, seorang wanita Filipina yang disabitkan hukuman mati kerana penyeludupan dadah, menurut Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra.

Perjanjian tersebut ditandatangani di sini oleh Yusril dan Timbalan Setiausaha Kehakiman Filipina, Raul Vasquez, sekali gus membuka jalan bagi penghantaran pulang Veloso sebelum sambutan Krismas, berkemungkinan sekitar 20 Disember.

“Seperti yang diarahkan oleh Presiden Prabowo, jika boleh, kami ingin menyelesaikan kes ini sebelum Krismas,” kata Yusril.

Veloso, seorang pembantu rumah dan ibu kepada dua anak, ditahan di Yogyakarta pada 2010 selepas didapati membawa 2.6 kg heroin yang tersembunyi dalam bagasi.

Hukuman matinya ditangguhkan pada saat-saat akhir pada tahun 2015 selepas campur tangan pegawai Filipina.

Menurut Yusril, Filipina bersetuju dengan beberapa syarat yang dicadangkan oleh Indonesia, termasuk menghormati keputusan mahkamah Indonesia terhadap Veloso dan statusnya sebagai banduan di negara itu.

Indonesia katanya, pada masa yang sama, akan menghormati sebarang keputusan Filipina, termasuk jika Veloso diberikan pengampunan.

Veloso juga akan diharamkan daripada kembali ke Indonesia.

"Perjanjian ini adalah bersifat timbal balik. Jika suatu hari nanti Indonesia meminta warganya yang dipenjarakan di Filipina untuk dipulangkan, permintaan itu mesti dipertimbangkan,” kata Yusril.

Sementara itu, Raul Vasquez menjelaskan bahawa Veloso akan menjalani baki hukumannya di Filipina.

“Setelah hak penjagaan dipindahkan, dia akan tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa Filipina,” katanya, sambil menambah bahawa keputusan untuk memberikan pengampunan bergantung kepada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.

Filipina turut memaklumkan bahawa hukuman mati terhadap Veloso akan ditukar kepada penjara seumur hidup.

Veloso terselamat daripada hukuman mati selepas pegawai Filipina merayu kepada Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo, untuk membenarkan dia memberi keterangan terhadap anggota sindiket penyeludupan manusia dan dadah.

Veloso sentiasa menegaskan bahawa dia tidak bersalah, mendakwa dirinya diperdaya menjadi penyeludup dadah oleh seorang perekrut pekerjaan dari Filipina.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD