fb fb fb fb fb

Konflik Syria: Ribuan penduduk Homs melarikan diri

Foto REUTERS

BEIRUT,6 Disember- Ribuan penduduk melarikan diri dari bandar Homs pada malam Khamis hingga pagi Jumaat, ketika kumpulan penentang kerajaan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) memperhebatkan serangan ke arah selatan, menurut laporan kumpulan pemantau perang dan penduduk tempatan.

Abu Mohammed Al-Golani, ketua HTS, dalam wawancara pertamanya dengan CNN sejak serangan bermula pada 27 November, berkata matlamat utama kumpulan berkenaan adalah untuk membina semula Syria dan membawa pulang pelarian Syria dari Lebanon dan Eropah.

Setakat ini, kumpulan berkenaan berjaya menguasai dua bandar utama dan kini menuju ke Homs, sebuah bandar strategik yang menghubungkan ibu kota Damsyik dengan kawasan pantai yang menjadi kubu kuat Presiden Bashar al-Assad.

Ini merupakan kemaraan paling pantas sejak kebangkitan rakyat terhadap Assad bertukar menjadi perang saudara 13 tahun lalu.

HTS kini dilihat berusaha untuk memutuskan laluan antara Damsyik dan kawasan pantai yang menjadi pusat sokongan Assad dan pangkalan tentera Rusia.

Tentera Rusia telah mengebom jambatan Rustan di lebuh raya M5 untuk menghalang pasukan penentang daripada meneruskan serangan.

Setelah bertahun-tahun mengawal sebahagian besar Syria dengan bantuan sekutu seperti Rusia, Iran, dan Hezbollah, perhatian Assad kini mulai terganggu akibat pelbagai krisis lain, memberikan ruang kepada kumpulan penentang kerajaan untuk bangkit melawan.

Sementara itu, Kumpulan Pemantau Hak Asasi Syria yang berpangkalan di UK melaporkan ribuan penduduk mula melarikan diri dari Homs menuju ke kawasan pantai Latakia dan Tartus, yang menjadi kubu kuat kerajaan.

Penduduk tempatan menggambarkan suasana genting di Homs, dengan jalan utama hampir kosong dan hanya beberapa kedai dibuka.

“Ribuan keluarga bergegas keluar dari bandar ini pada waktu malam, dan kesesakan lalu lintas menyebabkan perjalanan tergendala berjam-jam,” kata Wasim Marouh, seorang penduduk Homs.

Dalam pada itu, kumpulan militan Negara Islam (IS) dilaporkan kembali aktif di kawasan padang pasir di timur Syria, seperti Deir Al-Zor dan Raqqa.

Keadaan di Syria kekal tidak menentu, dengan pasukan penentang kerajaan terus mencabar kedudukan Assad yang sebelum ini kukuh.

Serangan HTS mencetuskan harapan bagi sesetengah pihak tetapi menimbulkan ketakutan tentang kemungkinan berlakunya krisis kemanusiaan yang lebih besar.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD