fb fb fb fb fb

Operator, pemandu pengangkutan awam lancar mogok asyik kena 'pow'

FOTO HIASAN

LIMA, 27 September- Ribuan bas menghentikan operasinya buat sementara waktu di ibu negara Peru, Lima, pada Khamis dengan menyertai protes luar biasa menentang pemerasan oleh kumpulan jenayah, kegiatan yang telah menjadi ancaman besar kepada penduduk di Amerika Latin.

Geng-geng tersebut menuntut bayaran sehingga 50,000 soles (AS$13,500) sebulan daripada setiap syarikat pengangkutan.

Jika permintaan mereka ditolak, mereka akan menyerang kenderaan dengan tembakan, walaupun bas tersebut membawa penumpang, menurut pengurus-pengurus kepada AFP.

Setakat tahun ini, terdapat 14 serangan dan tiga pemandu telah terbunuh, kata Martin Valeriano, presiden Persatuan Integrasi Pengangkut Nasional (Anitra).

"Jenayah ini semakin berkembang. Kami tak mampu melawannya lagi," katanya.

"Kami keluar bekerja, tetapi tidak tahu jika kami akan pulang kerana gelombang ketidakselamatan ini. Pemerasan sudah menjadi bentuk keganasan bandar sekarang," tambah Valeriano.

Penduduk Lima dan bandar pelabuhan berdekatan, Callao, berbaris panjang di stesen bas apabila sekurang-kurangnya 3,000 kenderaan menghentikan perkhidmatan mereka untuk mogok selama 24 jam.

Organisasi teksi motosikal juga turut serta.

Kekurangan pengangkutan di ibu negara Peru memaksa beberapa sekolah dan universiti menangguhkan kelas bersemuka.

Peserta mogok berarak menuju ke Kongres di pusat bandar Lima, membawa keranda kadbod dan papan tanda yang berbunyi: "Cukup kematian babitkan pengangkut" dan "Katakan tidak kepada pemerasan."

Valeriano berkata bahawa daripada 470 syarikat bas di Lima dan Callao, dianggarkan 50 sedang diperas ugut.

Pemerasan seperti itu telah menjadi masalah utama dari Mexico hingga ke Amerika Tengah, Colombia, Ecuador dan Peru.

Perniagaan kecil dan besar, kawasan perumahan, malah seluruh bandar terpaksa membayar kepada kumpulan penjenayah.

Keuntungan berjuta-juta dolar menjadikan perniagaan pemerasan lebih menguntungkan daripada pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, atau perlombongan haram, menurut sumber perisikan kepada AFP awal tahun ini.

Menurut polis, sebanyak 14,220 laporan pemerasan telah didaftarkan di Peru setakat tahun ini. Namun, ramai mangsa tidak membuat laporan kerana ketakutan.

Kerajaan pada lewat Khamis mengumumkan keadaan darurat selama 60 hari di beberapa daerah di Lima, membenarkan tentera membantu polis dalam memerangi pemerasan.

"Ia adalah tindak balas daripada negara Peru untuk melawan ancaman ini yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan kita," kata Menteri Pertahanan Walter Astudillo kepada wartawan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE