fb fb fb fb fb

Operasi carilamat nahas pesawat terhempas di Nepal disambung hari ini

POKHARA, 30 Mei- Pasukan penyelamat Nepal menemukan lokasi nahas sebuah pesawat yang terhempas bersama 22 penumpang.

Menurut jurucakap tentera, Narayan Silwal, pasukan tambahan sedang menuju ke lokasi nahas.

Imej yang dikongsi oleh Silwal di Twitter menunjukkan serpihan pesawat itu bertaburan di lereng gunung.

Nombor pendaftarannya jelas kelihatan.

Operasi mencari disambung semula awal hari ini selepas ia dihentikan kerana hari semakin gelap semalam.

Jurucakap syarikat penerbangan Sudarshan Bartaula memberitahu AFP, terdapat 19 penumpang dan tiga anak kapal di dalam pesawat Twin Otter yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Nepal, Tara Air.

Penumpang termasuk dua warga Jerman, empat warga India manakala selebihnya warga Nepal.


(Ahli keluarga mangsa nahas pesawat tidak dapat menahan sebak menerima khabar duka berhubung nahas terbabit/AFP)

Terdahulu, pesawat tersebut berlepas pada pagi Ahad untuk penerbangan selama 20 minit tetapi terputus hubungan dengan menara kawalan lima minit sebelum ia dijadualkan mendarat.

Ia berlepas dari bandar pelancongan Pokhara, 125 kilometer dari barat ibu negara, Kathmandu dan menuju ke Jomsom iaitu kira-kira 80 kilometer dari barat laut Pokhara yang merupakan sebuah pusat pelancongan.

Televisyen Nepal milik kerajaan melaporkan seorang penduduk kampung telah melihat sebuah pesawat terbakar di kaki gunung Himalaya Manapathi, di sebuah daerah yang bersempadan dengan Tibet.-AFP

Media Baharu