JEDDAH, 8 Mac-Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat menyokong pelan Liga Arab terhadap rancangan kontroversi Presiden AS, Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza dan mengusir penduduknya.
Keputusan oleh kumpulan seramai 57 anggota itu dibuat dalam mesyuarat tergempar di sini, tiga hari selepas Liga Arab meratifikasi cadangan tersebut dalam sidang kemuncak di Kaherah.
Cadangan alternatif yang dirangka Mesir sebagai tindak balas terhadap rancangan Trump tersebut mencadangkan pembinaan semula Gaza di bawah pentadbiran masa depan Pihak Berkuasa Palestin.
"Mesyuarat tergempar peringkat Menteri Pertubuhan Kerjasama Islam telah menerima pakai pelan Mesir, yang kini menjadi pelan bersama Arab-Islam," kata Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, dalam satu kenyataan yang disokong oleh rakan sejawatannya dari Sudan.
"Ia sememangnya satu perkembangan yang sangat positif," tambah Abdelatty.
Trump mencetuskan kemarahan global dengan mencadangkan agar AS "mengambil alih" Gaza dan menjadikannya sebagai "Riviera Timur Tengah", sambil memaksa penduduk Palestin berpindah ke Mesir atau Jordan.
Pada sidang kemuncak di Kaherah pada Selasa, para pemimpin Arab turut mengumumkan penubuhan dana amanah untuk membiayai pembinaan semula Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha tersebut.
"Langkah seterusnya adalah untuk menjadikan pelan ini sebagai pelan antarabangsa melalui penerimaan oleh Kesatuan Eropah dan pihak antarabangsa lain seperti Jepun, Rusia, China, dan lain-lain," kata Abdelatty.
"Inilah yang akan kami usahakan dan kami telah berhubung dengan semua pihak, termasuk pihak Amerika," tambahnya.
Namun, cadangan balas tersebut tidak memperincikan peranan Hamas, yang menguasai Gaza, dan telah ditolak oleh Amerika Syarikat serta Israel.
Pelan itu "tidak memenuhi jangkaan" Washington, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, kepada wartawan pada hari Khamis.
Namun, utusan Asia Barat Trump, Steve Witkoff, memberikan reaksi yang lebih positif dengan menyebutnya sebagai "langkah awal yang dilakukan dengan niat baik oleh pihak Mesir."
Rancangan Trump telah menyatukan negara-negara Arab dalam penentangan, dengan Arab Saudi juga menjadi tuan rumah mesyuarat pemimpin Arab dua minggu lalu bagi membincangkan alternatif lain.
Dalam perkembangan lain, OIC turut menerima semula Syria sebagai ahli selepas digantung pada tahun 2012 ketika perang saudara di bawah pemerintahan Bashar al-Assad.
"Keputusan ini merupakan satu langkah penting ke arah kembalinya Syria ke dalam komuniti serantau dan antarabangsa sebagai sebuah negara yang bebas dan adil," menurut kenyataan Kementerian Luar Syria.-AFP.