fb fb fb fb fb

OIC gantung status utusan khas Sweden

(FOTO HIASAN)

ISTANBUL, 24 Julai- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengumumkan pada Ahad bahawa status Utusan Khas Sweden dengan pertubuhan itu telah digantung.

Menurut kenyataan OIC, pada mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC yang diadakan 2 Julai lalu, Setiausaha Agung Hissein Brahim Taha telah diminta untuk mempertimbangkan tindakan terhadap negara-negara yang berlaku insiden mencemari al-Quran dan simbol Islam, termasuk menggantung status Utusan Khas

“Setiausaha Agung mengalu-alukan langkah yang diambil oleh beberapa Negara Anggota untuk membantah serangan berulang terhadap kesucian Islam.

“Beliau menyeru semua Negara Anggota untuk mengambil keputusan berdaulat yang dianggap wajar untuk menyatakan pendirian mereka mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan insiden mencemari kesucian al-Quran dan simbol Islam berulang dan untuk menyatakan kecaman negara-negara OIC terhadap tindakan yang memalukan itu dengan alasan kebebasan bersuara,” lapor Agensi Anadolu.


(Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha/ AFP)

Taha juga menekankan bahawa pembakaran naskhah al-Quran dan tindakan lain terhadap tokoh dan simbol Islam bukanlah "insiden Islamofobia yang biasa."

“Beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan undang-undang antarabangsa dengan segera yang jelas melarang sebarang tindakan menyebarkan kebencian agama,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan mematuhi resolusi yang diterima pakai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, untuk menangani isu kebencian agama yang menghasut diskriminasi, permusuhan atau keganasan.

Sekretariat Agung OIC sedang membuat persediaan untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Menteri-menteri Luar bagi membincangkan dengan lebih lanjut hal itu dan membuat sebarang keputusan yang perlu. - BERNAMA
 

Media Baharu