(Kerosakan bangunan akibat pertempuran yang berlaku/Foto Reuters)
SUDAN, 24 Julai- Lebih 19 juta orang di Sudan menghadapi masalah kekurangan makanan, ketika konflik bersenjata yang berterusan memburukkan lagi krisis kemanusiaan, kata seorang pegawai Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, pada Ahad.
Konflik bersenjata antara dua puak tentera bertelagah, yang berlarutan selama lebih tiga bulan, telah mengakibatkan gangguan bekalan air, elektrik dan gas serta kekurangan makanan serta ubat-ubatan yang teruk di banyak kawasan.
Menurut data PBB, kira-kira separuh daripada penduduk iaitu 24.7 juta orang, termasuk 13 juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan.
Dalam temu bual dengan Kumpulan Media China (CMG), Pegawai Komunikasi WFP, Mohamed Gamal memberi amaran mengenai keadaan tidak selamat dan makanan yang semakin merosot di kawasan dilanda perang di Sudan.
"Situasi kemanusiaan benar-benar teruk di Sudan. Pada masa ini, terdapat lebih 19 juta orang yang tidak terjamin makanan dan keadaan ini dijangka menjadi lebih teruk apabila perang berterusan.
"WFP amat prihatin terutamanya bagi kawasan seperti Darfur Barat yang pada masa ini tidak dapat diakses untuk perkhidmatan kemanusiaan kami untuk mencapai orang paling memerlukan," katanya.
(Pegawai Komunikasi WFP, Mohamed Gamal/Foto Reuters)
Sejak pertempuran antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Tindak Balas Pantas (RSF) tercetus pada 15 April, hampir 2.8 juta orang telah melarikan diri dari Sudan, termasuk dianggarkan 230,000 orang yang tiba di Chad.
Mohamed Gamal berkata WFP juga telah menyediakan rawatan untuk mereka yang cedera, yang memasuki Chad dari Sudan.
"Sangat malang ramai orang yang menyeberangi sempadan ke Chad mengalami kecederaan teruk kerana perang yang berterusan.
"Sebagai tindak balas itu, WFP telah membantu lebih 150,000 orang dan menubuhkan dua unit yang berkhidmat sebagai hospital untuk menyediakan perkhidmatan perubatan kepada mereka yang terjejas akibat perang di Sudan," tambahnya.
Dalam pada itu, WFP telah membawa bantuan makanan kepada lebih 1.4 juta orang di Sudan dan menyasarkan untuk menyediakan bantuan untuk 5.9 juta orang yang dilanda konflik di seluruh negara tahun ini.
Usaha bantuan kemanusiaan tersebut bagaimanapun telah dihalang kerana pihak yang bertelagah gagal memastikan keselamatan kakitangan kemanusiaan sepenuhnya dan beberapa gudang WFP telah dirompak.
"Kami menggesa pihak yang bercanggah untuk memudahkan koridor kemanusiaan untuk WFP mencapai orang yang paling memerlukan perkhidmatannya," kata Mohamed Gamal.
Menurut angka yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, pertempuran di Sudan telah menyebabkan lebih 3,000 kematian dan lebih 6,000 kecederaan setakat ini.-REUTERS