fb fb fb fb fb

Objek tidak dikenali ditembak jatuh di ruang udara Kanada - Justin Trudeau

FOTO AFP

OTTAWA, 12 Februari- Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengesahkan sebuah objek tidak dikenali ditembak jatuh di ruang udara barat laut Kanada.

Menurutnya, Amerika Syarikat (AS) turut memaklumkan perkara sama apabila bertindak menembak jatuh objek sama di Alaska pada hari sebelumnya.

Perkara itu dimaklumkan Trudeau menerusi ciapan di Twitter.

"Pesawat Kanada dan AS diterbangkan ke lokasi dan pesawat AS, F-22 berjaya menembak objek berkenaan," ciapnya.

Tambahnya, serpihan objek terbabit akan dicari dan dianalisis oleh pasukan tentera Kanada.

Trudeau sudah bercakap dengan Presiden AS, Joe Biden berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, Pemerintah Utara Tentera AS dalam satu kenyataan berkata objek terbabit ditembak jatuh di ruang udara Yukon yang bersempadan dengan Alaska semalam, di mana objek sama turut ditembak pesawat tempur AS pada Jumaat lalu.

"Aktiviti mengesan serpihan objek sedang dilakukan namun Pentagon tidak boleh mendedahkan perincian objek itu termasuk keupayaan, tujuan serta asal usulnya," katanya.

Bulan lalu, AS menembak jatuh objek dipercayai belon perisikan milik China sehingga menimbulkan ketegangan diplomatik dengan Beijing.

Belon gergasi dilengkapi peralatan elektronik yang disifatkan Pentagon sebagai objek perisikan, terbang merentasi Kanada dan AS sekali gus menimbulkan pertikaian diplomatik dengan China yang mengesahkan objek berkenaan adalah miliknya.

Belon terbabit terbang memasuki ruang udara AS di Alaska pada 28 Januari lalu sebelum ditembak jatuh di Laut Atlantik berhampiran South Carolina.- AFP


(FOTO REUTERS)

 

Media Baharu