TEHRAN, 10 Jun – Kementerian Luar Iran mengesahkan satu lagi rundingan tidak langsung dengan Amerika Syarikat berhubung perjanjian nuklear sedang dirancang Ahad ini di Muscat, Oman,
Perkembangan tersebut hadir ketika kedua-dua negara meneruskan usaha untuk mencari titik persetujuan baharu berhubung perjanjian nuklear.
Jurucakap kementerian, Esmaeil Baqaei, berkata Menteri Luar Iran merangkap ketua perunding, Abbas Araghchi, akan menyertai Forum Oslo di Norway minggu ini sebelum ke Muscat untuk rundingan tersebut.
“Pusingan baharu rundingan tidak langsung Iran-AS sedang dirancang untuk Ahad ini di Muscat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rundingan tersebut merupakan kesinambungan daripada lima pusingan rundingan terdahulu yang bermula sejak April lalu, dalam usaha menggantikan perjanjian asal 2015 yang ditinggalkan oleh Presiden AS ketika itu, Donald Trump, pada tahun 2018.
Trump sebelum ini berkata, satu lagi pertemuan dengan Iran dijangka berlangsung Khamis ini, namun sumber terdekat dengan persiapan rundingan menyatakan ia lebih berkemungkinan diadakan pada Jumaat atau Sabtu.
Pada 31 Mei lalu, Iran mengesahkan telah menerima cadangan perjanjian daripada AS, namun Araghchi menyifatkannya sebagai kabur dan tidak mencerminkan hasil rundingan sebelum ini.
Iran turut mengkritik draf tersebut sebagai “kurang elemen” penting dan berjanji akan mengemukakan cadangan balas yang “munasabah, logik dan seimbang” melalui perantara Oman.
Trump, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa rundingan baharu ini berpotensi menentukan sama ada penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai bagi mengelak konflik ketenteraan.
Kebuntuan utama antara Tehran dan Washington ketika ini berkisar isu pengayaan uranium. Iran mempertahankan hak untuk memperkayakan uranium sebagai sesuatu yang “tidak boleh dirunding,” manakala Amerika menganggap ia sebagai “garis merah.”
Iran kini memperkayakan uranium pada tahap 60 peratus iaitu jauh melebihi had 3.67 peratus yang ditetapkan dalam perjanjian 2015, dan menghampiri 90 peratus yang diperlukan untuk membangunkan senjata nuklear.
Negara-negara Barat, termasuk AS, sejak sekian lama menuduh Iran berniat menghasilkan senjata nuklear. Namun Iran terus menegaskan bahawa program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan keamanan.-AFP.