LONDON, 10 Jun - Anggota perikatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) digesa untuk meningkatkan kemampuan pertahanan udara dan peluru berpandu sebanyak 400 peratus.
Setiausaha Agungnya, Mark Rutte pada Isnin membuat gesaan itu dengan alasan kekurangan ketenteraan kritikal dan ancaman yang semakin meningkat daripada Rusia dan China.
Dalam ucapan di Chatham House, London, Rutte berkata, Rusia sedang mempercepat usaha pemodenan ketenteraan dan mengatasi NATO dalam pengeluaran peluru.
“Rusia menghasilkan dalam masa tiga bulan apa yang keseluruhan NATO hasilkan dalam setahun,” katanya.
Rutte mencadangkan sasaran baharu perbelanjaan pertahanan iaitu lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dengan 3.5 peratus daripadanya diperuntukkan bagi keperluan ketenteraan teras manakala selebihnya disalurkan untuk infrastruktur dan keupayaan industri.
Beliau menekankan bahawa cabaran utama ketika ini adalah pengeluaran, bukan hanya pembiayaan semata-mata.
"Kelewatan dalam proses pembuatan bermakna beberapa sistem pertahanan udara canggih hanya akan dapat dihantar dalam tempoh sedekad jika ditempah sekarang. Ia merupakan satu jangka masa yang tidak boleh diterima," tegasnya.
Beliau menggesa supaya stok simpanan diperluas secara besar-besaran, termasuk ribuan kenderaan berperisai, berjuta-juta peluru artileri dan kemampuan tambahan dalam bidang logistik, sokongan perubatan, dron, siber dan angkasa lepas.
“Hakikatnya, kita memerlukan lonjakan besar dalam pertahanan kolektif kita. Jelas, bahaya tidak akan lenyap, walaupun perang di Ukraine berakhir,” katanya.
Sambil mengulangi pendirian pertahanan NATO, Rutte turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang berhasrat mencabar perikatan itu.
Rutte berkata bahawa sidang kemuncak NATO yang akan datang di The Hague pada 24 dan 25 Jun ini akan menjadi detik penting untuk merumuskan pendekatan keselamatan jangka panjang perikatan itu, termasuk sokongan berterusan kepada Ukraine. - REUTERS