WILAYAH PAPUA, 10 Jun - Indonesia, pengeluar bijih nikel terbesar dunia, telah membatalkan permit operasi empat syarikat perlombongan di Raja Ampat, wilayah paling timur negara itu di Papua, menurut Menteri Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia, pada Selasa.
Ini susulan kebimbangan terhadap kesan perlombongan terhadap alam sekitar yang mencetuskan bantahan orang awam.
Protes terhadap aktiviti perlombongan di kawasan geopark global yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) dan terkenal dengan biodiversiti marin yang luar biasa, menjadi tular di media sosial tempatan minggu lalu, dengan pengguna berkongsi grafik perairan biru kawasan itu bersama tanda pagar #SaveRajaAmpat.
"Empat syarikat perlombongan nikel terbabit ialah PT Nurham, PT Kawei Sejahtera Mining, PT Anugerah Surya Pratama, dan PT Mulia Raymond Perkasa, yang beroperasi di pulau-pulau sekitar Raja Ampat," kata Lahadalia.
Namun, permit perlombongan bagi sebuah lagi syarikat nikel, PT Gag Nikel, anak syarikat kepada syarikat perlombongan milik kerajaan, Aneka Tambang (Antam) tidak dibatalkan kerana syarikat tersebut beroperasi di luar kawasan geopark yang telah ditetapkan.
Kontroversi ini memuncak minggu lalu apabila aktivis Greenpeace mengadakan demonstrasi kecil semasa persidangan mineral di Jakarta, dengan merujuk secara khusus kepada aktiviti perlombongan di sekitar Raja Ampat.
Menurut kenyataan Greenpeace, aktiviti perlombongan telah menyebabkan kemusnahan hutan seluas 500 hektar serta merosakkan terumbu karang dan ekosistem marin.
Indonesia merupakan pengeluar bijih nikel terbesar di dunia dan kini giat berusaha untuk membangunkan keupayaan pemprosesan bijih secara domestik.