fb fb fb fb fb

Eurostar rancang perkhidmatan kereta api terus dari United Kingdom ke Switzerland

Gambar hiasan

LONDON, 10 Jun - Eurostar mengumumkan rancangan untuk melancarkan perkhidmatan kereta api terus yang menghubungkan United Kingdom dengan Jerman dan Switzerland.

Syarikat pengendali kereta api itu menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai permulaan kepada "era keemasan baharu perjalanan antarabangsa yang mampan", apabila ia merancang untuk mengendalikan laluan terus antara Stesen London St Pancras dan Frankfurt serta Geneva menjelang awal 2030-an.

Laluan itu dijangka menggunakan sehingga 50 buah tren baharu dengan kos kira-kira €2 bilion (US$2.3 bilion).

Perjalanan antara London dan Frankfurt dijangka mengambil masa sekitar lima jam manakala ke Geneva kira-kira lima jam 20 minit.

Belum diputuskan sama ada tren itu akan berhenti di bandar seperti Cologne bagi laluan ke atau dari Frankfurt atau sama ada penumpang boleh turun dan naik di sepanjang laluan.

Ketua Eksekutif Eurostar Gwendoline Cazenave memberitahu agensi berita PA bahawa ramai penumpang sanggup menaiki tren yang lebih lama berbanding menaiki penerbangan kerana mereka "mahu melakukan perjalanan dengan lebih mampan".

Beliau menjangkakan terdapat permintaan tinggi daripada pelancong dan pengembara perniagaan bagi perkhidmatan terus ke Frankfurt dan Geneva, yang disifatkannya sebagai "hab kewangan utama".

Bagaimanapun, beberapa halangan perlu diatasi sebelum perkhidmatan itu boleh dilancarkan, termasuk menyediakan ruang penumpang yang mencukupi di stesen-stesen terlibat, memasang pusat pemeriksaan sempadan baharu, serta mendapatkan akses kepada laluan kereta api.

Cazenave mengakui bahawa pelancaran laluan tren antarabangsa baharu memerlukan "masa, pelaburan, kepakaran, dedikasi yang luar biasa dan perkongsian", namun beliau "tidak ragu" bahawa perkhidmatan terus itu akan menjadi kenyataan berikutan "komitmen" Eurostar, penumpang dan kerajaan.

United Kingdom dan Switzerland telah menandatangani memorandum persefahaman bulan lepas bagi mewujudkan perkhidmatan tren terus antara kedua-dua negara.

Eurostar akan mengendalikan tren baharu itu bersama 17 tren jenis e320 sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan armadanya kepada 67 tren, peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding jumlah sekarang.

Tren Eurostar dari London kini beroperasi ke Paris, Brussels dan Amsterdam serta ke pergunungan Alps Perancis semasa musim ski. Ia turut menjalankan perkhidmatan dalam Belgium, Perancis, Jerman dan Belanda.

Eurostar membawa 19.5 juta penumpang tahun lepas, meningkat lima peratus daripada 18.6 juta pada 2023.

Eurostar mencatatkan peningkatan dua peratus dalam hasil kepada €2 bilion tahun lepas, dengan pendapatan asas sebanyak €346 juta.

Eurostar dimiliki majoriti oleh syarikat kereta api negara Perancis, SNCF. United Kingdom menjual pegangan sahamnya dalam Eurostar kepada syarikat swasta pada 2015. - BERNAMA

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM