ANKARA, 16 Mei - New Zealand mengkuarantin puluhan individu yang dijangkiti virus campak bagi mengawal risiko penularan, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media milik kerajaan pada Jumaat.
Pihak berkuasa kesihatan pada 11 Mei mengumumkan yang satu kes campak dikenal pasti di Auckland, yang dikaitkan dengan perjalanan ke luar negara, menurut Radio New Zealand (RNZ).
Setakat ini, pihak berkuasa mengenal pasti 286 individu sebagai kontak rapat kepada pesakit itu dan 78 daripadanya dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Campak adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan sehingga 90 peratus individu yang tidak mempunyai imuniti boleh dijangkiti jika terdedah kepada virus itu. Namun begitu, menurut RNZ, 80 peratus rakyat New Zealand mempunyai imuniti terhadapnya.
Pengarah Perlindungan Klinikal Kebangsaan di Perkhidmatan Kesihatan Awam Kebangsaan Dr Susan Jack berkata seorang pesakit yang dijangkiti boleh menjangkiti antara 12 hingga 18 orang secara purata.
"Vaksin ini adalah 99 peratus berkesan selepas dua dos dan bagi kebanyakan orang, tiada risiko untuk mengambil dos tambahan," kata Jack. - BERNAMA