SINGAPURA, 16 Mei- Rundingan untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), yang dipengerusikan oleh Singapura, kini menghampiri tahap akhir dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong.
Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan berkata langkah itu mencerminkan komitmen kukuh ASEAN terhadap integrasi yang lebih mendalam dan kerjasama serantau.
Beliau berkata penambahbaikan itu bertujuan untuk mengurangkan tarif dan menghapuskan halangan bukan tarif bagi memudahkan perdagangan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Kita hampir menamatkan rundingan ATIGA. Ini adalah langkah penting untuk ke hadapan yang akan memberi isyarat kepada dunia bahawa kita terus mahu bekerjasama antara satu sama lain, terus berdagang antara satu sama lain dan terus maju dengan integrasi ASEAN,” katanya kepada media pada Jumaat.
Gan turut menyatakan terdapat perbincangan dalam kalangan negara anggota ASEAN mengenai kemungkinan mengukuhkan perkongsian dengan organisasi lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT), Gan menegaskan komitmen Singapura untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan sehaluan, khususnya ASEAN, sebagai sebahagian daripada pendekatan jangka panjang negara itu dalam mengharungi ketidaktentuan dan meningkatkan daya tahan ekonomi susulan kenaikan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata Singapura akan terus memperkukuh dan mendalamkan kerjasama, termasuk melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), bagi membuka lebih banyak peluang.
Sementara itu, Gan berkata Singapura kini memberi tumpuan kepada rundingan dengan AS mengenai tarif sektoral, seperti farmaseutikal, memandangkan Washington tidak mungkin menarik balik tarif asas 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara, termasuk Singapura.
Beliau berkata rundingan itu merangkumi beberapa bentuk konsesi untuk Singapura atau tarif pilihan, termasuk pengecualian sepenuhnya, bagi eksport farmaseutikal ke AS.
Gan turut berkongsi bahawa import AS ke Singapura sudah menikmati pengecualian tarif, dan AS dijangka memberi tumpuan untuk memastikan kelancaran aliran barangan serta keselamatan rantaian bekalan.
AS sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk mengenakan tarif ke atas sektor seperti farmaseutikal dan semikonduktor.
Dalam pada itu, Gan berkata prospek ekonomi Singapura dan ekonomi global kekal tidak menentu meskipun terdapat perkembangan positif daripada rundingan perdagangan AS-China.
“Apa yang akan berlaku pada penghujung tempoh 90 hari masih menjadi tanda tanya, dan sama ada rundingan dengan negara lain akan berjalan lancar serta mencapai persetujuan yang boleh diterima bersama masih belum dapat dipastikan,” katanya.- BERNAMA