fb fb fb fb fb

Negara kaya perlu bantu negara miskin akhiri COVID-19 - WHO

(FOTO REUTERS)

LONDON, 24 September- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta negara kaya yang menganggap pandemik COVID-19 sudah berakhir supaya membantu negara berpendapatan rendah untuk mencapai tahap sama.

Dalam satu temuramah, Penasihat Kanan WHO, Bruce Aylward, mengingatkan negara lebih kaya tidak boleh berundur dalam menangani COVID-19 sebagai masalah global ketika ini kerana gelombang jangkitan berpotensi berlaku pada masa depan.

Sejak beberapa minggu lalu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata wabak itu akan berakhir dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, pula dilaporkan berkata wabak berkenaan sudah berakhir.

"Apabila saya mendengar mereka berkata 'baik kami sangat selesa di sini', ia seperti bagus. Kini, anda benar-benar boleh membantu kami menanganinya bagi seluruh dunia," kata Aylward.

Aylward berkata, kumpulan yang diselaraskannya yang memberi tumpuan kepada akses saksama kepada vaksin, rawatan dan ujian COVID-19 di seluruh dunia masih belum bersedia untuk keluar daripada fasa kecemasan menangani wabak itu.

Katanya, negara terbabit perlu bersedia dan mempunyai rawatan yang tersedia untuk sebarang gelombang jangkitan yang seterusnya.

"Jika anda 'tidur' sekarang dan gelombang ini melanda kita dalam tempoh tiga bulan, Tuan, darah di tangan anda," katanya.


(Penasihat Kanan WHO, Bruce Aylward/ REUTERS)

Beliau juga menekankan, Biden mempunyai asas secara domestik kerana AS mempunyai akses yang baik kepada semua peralatan COVID-19.

Katanya, ia juga tidak menghalang komitmen global negara itu untuk memerangi wabak berkenaan.

Aylward menyelaraskan ACT-Accelerator, kerjasama antara WHO dan badan kesihatan global lain bagi membantu negara miskin mengakses peralatan COVID-19.

Usaha berkenaan, termasuk COVAX yang memfokuskan kepada vaksin mencapai berbilion orang di seluruh dunia, namun berdepan kritikan kerana tidak bertindak dengan cukup pantas.

Terdapat beberapa spekulasi bahawa usaha itu mungkin berakhir pada musim luruh akan datang, namun Aylward memaklumkan ia hanya mengubah fokusnya apabila wabak berubah.

"Dalam enam bulan akan datang, kerjasama itu akan menyasarkan, terutama menghantar vaksin kepada kira-kira satu perempat pekerja penjagaan kesihatan dunia dan warga emas yang masih belum mendapat suntikan serta meningkatkan akses kepada ujian dan rawatan terutama dengan Paxlovid oleh Pfizer. - REUTERS

Media Baharu