fb fb fb fb fb

Negara Eropah gesa siasatan PBB terhadap penggunaan dron Iran di Ukraine

(Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat untuk membincangkan konflik Ukraine-Rusia
di ibu pejabat PBB di New York pada 21 Oktober 2022/Foto AFP)

AMERIKA SYARIKAT, 22 Oktober- Perancis, Britain dan Jerman menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telus terhadap siasatan mengenai dakwaan penggunaan dron milik Iran di Ukraine.

“Kami mengalu-alukan siasatan oleh pasukan Sekrerariat PBB yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231 (UNSCR 2231),” tulis duta PBB bagi ketiga-tiga negara itu.

Menerusi sepucuk surat yang ditujukan kepada Majlis Keselamatan dan Setiausaha Agung, Antonio Guterres, mereka memaklumkan ketiga-tiga negara "bersedia untuk menyokong kerja Sekretariat PBB dalam menjalankan siasatan teknikal dan tidak berat sebelah."

Mereka menambah sangat bimbang dengan pemindahan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dari Iran ke Rusia yang didakwa melanggar resolusi berkenaan.

"UAV ini digunakan Rusia dalam perang pencerobohannya terhadap Ukraine, serangan terhadap infrastruktur awam dan bandar yang membawa kepada kematian orang awam yang tidak bersalah," tulis mereka.

(Seorang lelaki bergambar di sebelah bangunan yang rosak di Lyman, wilayah Donetsk, pada 21 Oktober 2022,
selepas tentera Ukraine menawan semula kawasan itu daripada tentera Rusia/Foto AFP)

Duta Perancis ke PBB Nicolas de Riviere menyeru Iran "untuk segera menghentikan semua bentuk sokongan kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine."

Negara-negara Barat menuduh Iran membekalkan dron yang digunakan oleh Moscow untuk melancarkan serangan ke atas Ukraine dan White House pada Khamis berkata kakitangan Iran di Crimea membantu tentera Rusia melakukan serangan dron.

Bagaimanapun, utusan PBB Rusia, Vassily Nebenzia menyifatkan tuduhan itu satu lagi (berita) palsu mengenai dakwaan bekalan kepada Rusia.

"Kami menolak sebarang percubaan untuk melibatkan sekretariat PBB dalam usaha kotor itu."

Iran juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan penggunaan dron berkenaan di Pertubuhan Bangsa Bersatu, awal minggu ini.-AFP

Media Baharu