fb fb fb fb fb

NATO cadang pertingkat kawalan sekitar Sweden, Baltik

STOCKHOLM, 6 Mei- Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, berkata pertubuhan itu boleh meningkatkan kawalan di sekitar Sweden dan Laut Baltik bagi melindungi negara itu daripada campur tangan Russia ketika proses permohonan keahlian.

"Kita perlu ingat sejak Sweden berpotensi memohon dan NATO menjelaskan ia mahu Sweden menyertai, terdapat kewajipan sangat kuat NATO untuk menjamin keselamatan Sweden.

"Kami mempunyai beberapa cara untuk melakukannya, antara lain dengan mempertingkat kehadiran pasukan NATO lebih banyak di sekitar Sweden dan Laut Baltik," katanya kepada televisyen awam Sweden SVT, pada Khamis.


(Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg/ AFP)

Menerusi perubahan haluan bersejarah dicetuskan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dua negara tidak bersekutu dari segi ketenteraan, Sweden dan Finland sedang mempertimbang memohon keahlian NATO.

Keputusan setiap negara dijangka dimuktamadkan dalam beberapa hari atau minggu lagi.

Perluasan pakatan Atlantik berkemungkinan akan menimbulkan kemarahan Moscow, yang sudah memberi amaran mengenai 'kesan', jika jiran Nordic memohon.

Antara persoalan paling mendesak ialah keselamatan kedua-dua negara ketika proses permohonan yang boleh mengambil masa beberapa bulan kerana setiap daripada 30 negara anggota NATO perlu mengesahkan sebarang bidaan keahlian.

Hanya ahli penuh menerima manfaat daripada Artikel 5 NATO, prinsip asasnya ialah serangan ke atas satu ahli adalah serangan ke atas semua ahli.

Stockholm dan Helsinki dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengadakan perbincangan dengan beberapa kuasa besar NATO bagi mendapatkan 'jaminan keselamatan'.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin berkata perbincangan sudah pun diadakan dengan Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS), selain menekankan proses ratifikasi yang segera akan 'menjadi jaminan keselamatan terbaik'.

Menteri Luar Sweden, Ann Linde mengakhiri lawatan ke Kanada dan AS pada Khamis, berkata republik itu bersedia menyediakan 'jenis jaminan keselamatan berbeza' ketika proses permohonan, di Washington, Selasa lalu.

Ditanya AFP, jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS berkata, beliau 'yakin' penyelesaian boleh ditemui. - AFP

Media Baharu