BRUSSELS, 15 Oktober -Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi tumpuan kepada inisiatif senjata baharu untuk Ukraine susulan pencerobohan dron yang semakin kerap di negara-negara Eropah.
Inisiatif itu dikenali sebagai 'Prioritized Ukraine Requirements List' (PURL), dibangunkan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu bagi membekalkan senjata tambahan kepada Ukraine.
Ia termasuk senjata daripada stok sedia ada AS dengan pembiayaan dana negara anggota NATO.
Perkara itu menjadi agenda utama dalam mesyuarat menteri-menteri pertahanan NATO di Brussels yang dipengerusikan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, bersama Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.
“Kali ini kita akan fokus bagaimana memperkukuh pencegahan dan pertahanan, berasaskan keputusan bersejarah yang dicapai di The Hague untuk meningkatkan perbelanjaan serta pengeluaran pertahanan secara besar-besaran,” kata Rutte.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan kerjasama NATO dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menubuhkan “tembok dron” bagi melindungi negara anggota daripada ancaman serangan udara tanpa pemandu.
Rutte menjelaskan, NATO menyediakan kemampuan ketenteraan, manakala EU memastikan dana serta kerangka pasaran dalaman tersedia bagi menjayakan usaha itu.
NATO yang ditubuhkan pada 4 April 1949 kini dianggotai 32 negara.
Pertubuhan itu berperanan menjamin keselamatan bersama di Eropah dan Amerika Utara, khususnya dalam menghadapi ancaman ketenteraan dan geopolitik. -REUTERS