fb fb fb fb fb

Nahas Yeti Airlines: Tiada harapan temukan mangsa terselamat

(Pasukan penyelamat menemukan mayat mangsa di lokasi nahas pesawat Yeti
Airlines, di Pokhara, Nepal/REUTERS)

KATHMANDU, 19 Januari- Peluang untuk menemukan mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Yeti Airlines adalah semakin tipis.

Bagaimanapun, pasukan mencari dan menyelamat akan terus mencari mangsa terakhir yang masih hilang.

Pasukan penyelamat menggunakan dron bagi meninjau gaung yang mempunyai kedalamanan 200 meter untuk mengesan mangsa nahas pesawat yang membawa 72 orang ketika ia terhempas berhampiran bandar pelancongan Pokhara pada pagi Ahad lalu.

Seorang pegawai, Tek Bahadur K.C berkata tiada kemungkinan untuk menemukan mangsa yang terselamat. Setakat ini sebanyak 71 mayat telah ditemukan di lokasi nahas.

"Pencarian yang terakhir akan diteruskan", katanya.

Sementara itu, pegawai polis Ajay K.C berkata proses mengenal pasti dan mengira kesemua mangsa nahas adalah sukar kerana keadaan mayat mereka.

Pasukan menyelamat telah menemukan 68 mayat pada hari Ahad, dua lagi ditemukan pada Isnin sebelum operasi pencarian dihentikan. Satu lagi mangsa ditemukan pada lewat petang Selasa.

Menurut pegawai operasi, Gurudutt Ghimire pasukan penyelamat juga melihat aliran sungai berhampiran bagi mengesan mangsa.

"Tiada apa-apa lagi di sana. Bagaimanapun pencarian akan diteruskan", katanya.

Isnin lalu, pasukan penyelamat menemukan perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan dari pesawat tersebut. Kedua-duanya dalam keadaan baik, penemuan tersebut mungkin membantu penyiasat mengenal pasti punca nahas. -REUTERS

(Pasukan penyelamat mencari mangsa di Pokhara/AFP)

Media Baharu