PARIS, 24 Disember - Muzium Louvre di Perancis memasang palang keselamatan di balkoni yang digunakan oleh kumpulan pencuri untuk memecah masuk dan melarikan sebahagian barang kemas diraja yang dianggarkan bernilai AS$102 juta.
Pada 19 Oktober lalu, empat individu menceroboh muzium paling banyak dikunjungi di dunia itu dan melarikan barang kemas berkenaan, sekali gus mendedahkan kelemahan ketara aspek keselamatan serta keadaan fasiliti yang semakin uzur.
Kumpulan terbabit dilaporkan meletakkan lif pemindahan barang di luar muzium sebelum melompat ke balkoni Galeri Apollo dengan memecahkan tingkap, memotong bekas pameran menggunakan mesin pemotong besi dan melarikan diri menaiki skuter yang ditunggang rakan subahat. Keseluruhan kejadian itu berlaku kurang tujuh minit.
Pada Selasa, sebuah kren digunakan bagi mengangkat dan memasang gril keselamatan untuk menutup pintu kaca yang menghubungkan laluan ke balkoni berkenaan.
"Muzium Louvre mengambil iktibar sepenuhnya daripada kejadian kecurian pada 19 Oktober dan sedang meneruskan usaha transformasi serta memperkukuh seni bina keselamatannya," menurut kenyataan muzium itu menerusi hantaran di platform X.
Pihak muzium turut memaklumkan bahawa satu pasukan polis bergerak kini ditempatkan di bulatan hadapan piramid kaca ikonik Louvre, selain perancangan untuk memasang 100 lagi kamera keselamatan di sekitar muzium itu tahun hadapan.
Polis setakat ini telah mengenal pasti lapan suspek berkaitan kejadian rompakan berkenaan, namun barang kemas yang dicuri masih belum ditemui.
Insiden pencerobohan itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di Louvre yang menempatkan karya seni tidak ternilai, termasuk lukisan Mona Lisa.
Pihak pengurusan muzium mengakui terdapat kekurangan liputan kamera keselamatan di bahagian luar bangunan, selain tiada pemantauan kamera di balkoni yang menjadi laluan pencerobohan.
Kejadian tersebut menambah kepada beberapa isu yang dihadapi termasuk penutupan sebuah galeri berhampiran Galeri Apollo berikutan kelemahan struktur, insiden kebocoran air yang mengakibatkan kerosakan koleksi buku di Jabatan Antikuiti Mesir, serta penutupan sebahagian muzium selama beberapa hari susulan tindakan mogok oleh kakitangan muzium itu.- REUTERS