fb fb fb fb fb

‘Mungkin saya tidak sebaik Salahuddin, tapi saya cuba yang terbaik’ - Nazri

MUAR, 5 September - “Mungkin saya tidak sebaik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, tetapi saya akan cuba yang terbaik,”.

Harapan itu disuarakan calon Pakatan Harapan (PH) Ir. Nazri Abdul Rahman agar beliau diberikan peluang untuk berkhidmat kepada penduduk Simpang Jeram.

Ketika ditemu bual wartawan RTM, beliau menyatakan mahu mewujudkan ekonomi baharu sebagai menoktahkan miskin tegar di kawasan luar bandar.

Katanya, hasrat itu selari dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memuktamadkan miskin tegar tahun ini.

Nazri, 56, adalah bekas ketua jurutera yang pernah berkhidmat di Majlis Perbandaran Muar tekad dengan memartabatkan ekonomi penduduk tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Kalau kita lihat sekitar Simpang Jeram ini, ada kawasan perkilangan seluas seribu ekar, mudah-mudahan kawasan itu dapat memberi peluang

pekerjaan kepada anak-anak muda (yang) terlibat dalam industri perkayuan.

“Kita bukan sahaja dapat membantu anak-anak muda untuk bekerja secara langsung, tetapi akan memberi impak ekonomi kepada peniaga-peniaga kerana sudah pasti kawasan itu akan menjadi tumpuan penduduk tempatan.

“Penduduk dapat membuka warung atau gerai-gerai yang boleh membantu mereka dari segi ekonomi,” katanya kepada RTM baru-baru ini.

STATISTIK SUBNASIONAL DUN SIMPANG JERAM

Statistik kemiskinan di Simpang Jeram seperti yang berdaftar dengan eKasih menunjukkan peningkatan bagi tempoh tiga tahun.

Tahun 2018, merekodkan jumlah keseluruhan adalah (23), tahun 2019 pula (29) dan pada 2020 meningkat kepada kepada 32 orang.

Angka kemiskinan di kawasan itu berdasarkan persempadanan pilihan raya pada tahun 2018 dari Jabatan Perangkaan.

MUKA BAHARU PUNYA MATLAMAT SAMA

Ketika ditanya, tidakkah beliau bimbang sekiranya wujud perbandingan antara dirinya dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin.

Nazri menegaskan beliau mempunyai matlamat yang sama seperti Salahuddin iaitu akan memberi fokus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Fokus itu, khususnya melibatkan empat elemen Program Payung Rahmah iaitu Bakul Rahmah, Menu Rahmah, Jualan Rahmah, dan Barangan Rahmah.

“Saya akan meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Salahuddin.

“Kekuatan arwah (Salahuddin) kita lihat sebagai pimpinan pusat yang terkenal di seluruh Malaysia manakala saya penduduk tempatan yang lahir di sini dan hampir 56 tahun saya tidak bergerak ke mana-mana.

Katanya, beliau sudah mengenali Salahuddin sejak 2015 dan menyifatkan hubungan mereka begitu akrab seperti keluarga.

“Saya maklum, dia (Salahuddin) mengharapkan (agar) saya menggantikan dia. Pada ketika itu saya anggap bukannya (dia) untuk meninggalkan dunia. Tapi mungkin (menyangka) dia berpindah ke DUN lain untuk bertanding.

“Tapi sebaliknya dia meninggalkan kita terus…meninggalkan dunia ini dan saya rasa satu tanggungjawab besar yang perlu saya pikul.

“Saya amat bimbang masa itu. Bolehkah saya pikul tanggungjawab ini,” katanya yang rasa terkilan tidak dapat bertemu dengan arwah pada saat-saat akhir.

ANDAI GAGAL MENAMBAT HATI PENGUNDI

Katanya, sekiranya gagal diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat kepada 40,379 pengundi Simpang Jeram, beliau tidak akan berputus asa menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan masyarakat di kawasan itu.

“Apa yang penting saya sebagai anak jati tempatan, saya boleh membantu walaupun tidak memenangi pilihan raya.

“Ayah saya sendiri adalah bekas ketua kampung hampir 29 tahun, saya sendiri membantu ayah saya menyantuni penduduk dan menghulurkan bantuan dari pelbagai sudut.

“Jadi tiada soal isu menang atau kalah, selagi saya berada di DUN Simpang Jeram saya cuba membantu bagi mereka yang memerlukan,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini.

PRK diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pada PRK ini, Nazri berdepan saingan tiga penjuru, melawan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Mazri Yahya (Perikatan Nasional) dan calon bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan.

ARTIKEL BERKAITAN:
Semangat perjuangan Salahuddin dorong Nazri bela nasib rakyat
Simpang Jeram: ‘Bertembung parti lawan, tapi elak provokasi’ 
Anthony yakin calon pertahan kerusi Pulai dan Simpang Jeram
DUN Simpang Jeram sah bertanding tiga penjuru

Media Baharu