fb fb fb fb fb

Pesawat penerbangan MU5735 terhempas di China, jumlah kematian sebenar belum diketahui

(FOTO FAIL AFP)

BEIJING, 21 Mac- Pihak berkuasa penerbangan, mengesahkan sebuah pesawat milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines yang membawa 132 orang (laporan awal menyebut 133 orang) terhempas di selatan China hari ini.

Pesawat Boeing 737, penerbangan dari bandar Kunming ke selatan Guangzhou, “terputus hubungan ketika berada di kawasan bandar Wuzhou" wilayah Guangxi, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) menerusi pengumuman dalam talian.

“Ketika ini disahkan bahawa pesawat telah terhempas,” kata CAAC yang turut memaklumkan bahawa pasukan kecemasan telah diaktifkan selain menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke lokasi nahas.

“Ketika kejadian pesawat membawa 123 penumpang dan 9 kru kapal,” kata CAAC.

Terdahulu, media tempatan CCTV melaporkan pesawat terhempas di daerah Teng, dekat Wuzhou dan "menyebabkan kebakaran di kawasan pergunungan (lokasi nahas)", memetik biro pengurusan kecemasan wilayah.

Seorang penduduk kampung memberitahu media tempatan bahawa pesawat terlibat pecah sepenuhnya dan turut menyatakan kawasan hutan di lokasi nahas musnah akibat terbakar apabila pesawat itu terhempas di lereng bukit.

Kebimbangan tentang nahas itu mula merebak pada awal petang tadi selepas media tempatan melaporkan sebuah pesawat milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines, pesawat MU5735 gagal tiba di Guangzhou mengikut jadual selepas berlepas dari Kunming kira-kira pukul 1.00 tengah hari.  

Pihak berkuasa tempatan melaporkan lokasi sebenar nahas adalah di Langnan dalam daerah Teng, menurut sumber AFP.

 


(FOTO FAIL AFP)

Sementara itu, menurut FlightRadar24, tiada data penerbangan direkodkan untuk penerbangan MU5735 selepas pukul 2.22 petang waktu tempatan, apabila pesawat tiba ke Wuzhou.

Data itu menunjukkan bahawa pesawat telah jatuh secara mendadak dari ketinggian 29,100 kaki kepada 3,225 kaki dalam tempoh tiga minit, sebelum maklumat penerbangan berhenti sepenuhnya.

Nahas udara terakhir di China melibatkan pesawat penumpang direkodkan pada 2010 apabila 42 daripada 92 orang maut apabila pesawat milik Henan Airlines terhempas ketika menghampiri lapangan terbang Yichuan. Kejadian itu berpunca daripada jarak penglihatan terhad.

Manakala nahas udara paling tragik berlaku pada 1994 melibatkan syarikat penerbangan China Northwest Airlines membunuh ke semua 160 penumpang dan anak kapal.

Tragedi melibatkan pesawat penerbangan dari Malaysia, MH370 penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing pula melibatkan kehilangan penumpang yang kebanyakannya mereka dari China. -AFP

Media Baharu