(Penunjuk perasaan memegang poster dan sepanduk "No SWIFT for Russia" semasa protes pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 26 Februari 2022, di Frankfurt/AFP)
KIEV, 27 Februari- Moscow mengarahkan tenteranya di Ukraine terus melakukan serangan dari semua arah sementara Barat mula mengenakan sekatan bagi melumpuhkan sektor perbankan Rusia.
Sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan, pihak Barat akan mengeluarkan beberapa bank Rusia daripada sistem mesej bank SWIFT atau 'Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication' serta membekukan aset bank pusat. Ia bertujuan untuk melumpuhkan perdagangan Rusia dengan dunia luar.
Pihak berkuasa Ukraine melaporkan 198 orang awam terbunuh termasuk tiga kanak-kanak sejak Rusia memulakan operasi ketenteraan di Ukraine pada Khamis lalu.
Ukraine turut memberi amaran bahawa ‘pengkhianat’ Rusia masih aktif di Kiev yang menyaksikan letupan di kawasan awam sehingga memaksa penduduk lari ke bawah tanah untuk menyelamatkan diri.
Menurut Moscow, mereka telah melancarkan peluru berpandu ke kemudahan tentera dan meneruskan serangan selepas menuduh Ukraine telah ‘menolak’ rundingan.
Namun pada hari ke-3 pencerobohan Rusia, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berikrar negaranya tidak akan menyerah kalah kepada Kremlin dan Washington pula menyifatkan pasukan penceroboh (Rusia) “kekurangan momentum".
Tentera Rusia berkata mereka masih berusaha menangkis serangan di ibu negara, namun perlu juga memerangi kumpulan ‘pengkhianat’ Rusia yang telah menyusup masuk ke bandar tersebut.
“Kami akan terus memerangi sehingga negara bebas,” kata Zelensky dalam mesej video.
Terdahulu, Zelensky berkata Ukraine berjaya ‘mengganggu’ rancangan Moscow untuk menggulingkannya dan menggesa rakyat Rusia memberi tekanan kepada Presiden Vladimir Putin supaya menghentikan konflik.
Sementara itu, Pentagon menganggarkan kira-kira separuh daripada lebih 150,000 tentera Rusia, dalam beberapa bulan kebelakangan ini berada di sempadan Ukraine sudah masuk ke Ukraine. -AFP