fb fb fb fb fb

Moscow anjur latihan ketenteraan laut besar-besaran merentasi tiga laut

Foto Reuters

MOSCOW, 25 Julai – Tentera Laut Rusia meneruskan latihan ketenteraan berskala besar yang dinamakan July Storm pada Jumaat, dengan latihan itu dijadual berlangsung sehingga Ahad.

Latihan tersebut melibatkan tembakan artileri dan pelancaran peluru berpandu secara langsung, yang dijalankan merentasi kawasan perairan luas dari Lautan Pasifik di timur, Laut Barents di utara, hinggalah ke Laut Baltik di barat.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, seramai 15,000 anggota tentera terlibat dalam latihan itu bersama lebih 150 kapal termasuk kapal selam berkuasa nuklear, 120 pesawat, dan 10 sistem peluru berpandu darat.

Latihan tersebut diketuai Panglima Tentera Laut Rusia, Laksamana Alexander Moiseev.

Dalam rakaman video yang dikeluarkan kementerian pada Jumaat, kapal selam peluru berpandu nuklear Orel milik Armada Utara dilihat sedang melakukan manuver di Laut Barents.

Sementara itu, Armada Pasifik melancarkan peluru berpandu pelbagai jenis, termasuk peluru berpandu jelajah, ke arah sasaran permukaan laut.

Pasukan itu turut menggunakan sistem peluru berpandu darat Bastion terhadap sasaran maritim.

Di Laut Baltik pula, kapal penyapu periuk api milik Armada Baltik berjaya mengesan dan "menyahaktifkan" kira-kira 20 periuk api tiruan di dasar laut. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN