NEW DELHI, 30 Julai - Perdana Menteri India, Narendra Modi, menafikan bahawa mana-mana pemimpin dunia telah mendesak India untuk menghentikan operasi ketenteraan terhadap Pakistan.
Ia susulan dakwaan berulang kali oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa beliau telah menjadi orang tengah dalam usaha damai antara dua negara bersenjata nuklear itu.
“Tiada mana-mana pemimpin dunia meminta kami menghentikan operasi,” kata Modi ketika membentangkan usul di Parlimen mengenai "Operasi Sindoor", kempen ketenteraan India ke atas Pakistan.
Modi bagaimanapun tidak menyebut nama Trump secara langsung dalam ucapannya.
Beliau turut mendakwa bahawa Pakistan yang terlebih dahulu merayu agar pertempuran dihentikan selepas merasai tekanan serangan oleh India.
Pertempuran selama empat hari antara India dan Pakistan pada Mei lalu mengorbankan lebih 70 orang di kedua-dua belah pihak, sebelum Trump mengumumkan satu gencatan senjata.
Trump sebelum ini berulang kali mendakwa bahawa beliau telah menjadi pengantara dalam mendamaikan kedua-dua negara, termasuk kenyataan terbaharunya Isnin lalu ketika berada di Scotland.
“Kalau saya tiada, sekarang ini sudah ada enam peperangan besar berlaku. India pasti sedang berperang dengan Pakistan,” katanya.
Kenyataan Modi hadir sebagai jawapan kepada desakan pemimpin pembangkang daripada parti Kongres, Rahul Gandhi, yang mencabar beliau agar menyatakan secara terbuka dalam parlimen bahawa Trump "berbohong".
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, turut memaklumkan bahawa tiga lelaki bersenjata Pakistan yang terlibat dalam serangan di Kashmir telah ditembak mati oleh tentera India dalam operasi pada Isnin.
Dua daripada mereka dikenal pasti sebagai anggota Lashkar-e-Taiba, kumpulan yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Wilayah Kashmir, yang majoriti penduduknya beragama Islam, telah menjadi rebutan antara India dan Pakistan sejak pemisahan dari British pada tahun 1947. Kedua-dua negara telah berperang sebanyak dua kali dan beberapa kali bertempur di wilayah itu. - AFP