fb fb fb fb fb

Misi PBB di Iraq akan berakhir selepas dua dekad

Pengguna jalan raya melepasi kenderaan berperisai pasukan keselamatan Iraq di Baghdad pada 26 Disember 2023 /Foto Fail: AFP

NEW YORK, 1 Jun- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), atas permintaan Baghdad, sebulat suara memutuskan bahawa misi politik pertubuhan itu di Iraq selama lebih 20 tahun akan berakhir pada penghujung 2025.

Kerajaan Iraq yang mengalu-alukan keputusan itu berkata, ia mencerminkan kemajuan dan kestabilan di negara itu.

Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Iraq (UNAMI) ditubuhkan pada 2003 selepas serangan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Saddam Hussein .

Namun, penganalisis berkata, misi itu bergelut untuk memberikan kesan dalam aspek tertentu dan kerap membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya, sehingga semakin banyak negara tuan rumah menolak misi PBB di sana.

Resolusi UNSC yang diterima pakai pada Jumaat melanjutkan mandat misi itu sehingga 31 Disember 2025 dan selepas itu, UNAMI akan menghentikan semua kerja dan operasi di Iraq.

Misi itu mempunyai kira-kira 700 kakitangan pelbagai tugas termasuk menasihati kerajaan mengenai dialog politik dan perdamaian serta membantu mengadakan pilihan raya dan pembaharuan sektor keselamatan.

Jurucakap kerajaan Iraq berkata, keputusan UNSC menandakan 'selesainya proses pembinaan politik yang dimulakan pada 2003 selepas kejatuhan rejim diktator'.

Awal bulan ini, dalam surat kepada UNSC, Perdana Menteri Iraq, Mohamed Shia al-Sudani, berkata UNAMI berhasil mengatasi 'cabaran yang besar dan pelbagai', selain alasan untuk meneruskan misi politik di Iraq tidak lagi wujud.

Semasa pembaharuan misi sebelumnya pada Mei 2023, UNSC meminta Setiausaha Agung untuk melakukan semakan, yang dipantau diplomat Jerman, Volker Perthes.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Mac, Perthes memberi isyarat bahawa penutupan misi PBB akan meyakinkan rakyat Iraq yang bimbang peralihan itu akan menjejaskan pencapaian demokratik atau mengancam keamanan dan keselamatan.

Misi PBB hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan negara tuan rumah, dengan Rusia, China, Britain dan Perancis pada bulan ini menyuarakan sokongan berhubung perubahan itu. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI