fb fb fb fb fb

Migran maut ketika menyeberangi Selat Inggeris

Seorang pendatang maut ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris ke Britain dari Perancis pada Jumaat ketika kapal yang dinaikinya karam / Foto AFP

LILLE, 19 Julai - Seorang pendatang maut ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris ke Britain dari Perancis pada Jumaat ketika kapal yang dinaikinya karam, kata Polis Maritim Perancis.

Ini merupakan perjalanan ketiga yang berakhir dengan kematian dalam tempoh seminggu, katanya, sambil menambah 85 orang telah diselamatkan selepas pihak berkuasa menjawab panggilan kecemasan mereka.

Sumber polis berkata, pendatang yang meninggal dunia itu berasal dari Sudan manakala selebihnya yang diselamatkan dari kapal itu kebanyakannya warga Habsyah, Eritrea atau Sudan.

Sejurus sebelum 1:00 pagi (2300 GMT Khamis) mereka telah meminta bantuan peronda tentera laut Perancis ketika kapal mereka mula karam, kata polis.

Peronda menyelamatkan lima orang yang hanyut di dalam air, dan memindahkan yang lain dari kapal.

Ketika itulah kru mendapati bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia.

Pada Rabu, di luar Gravelines di pantai Perancis, seorang wanita Eritrea meninggal dunia ketika cuba menyeberang dengan sebuah kapal yang membawa 72 pendatang.

Jumaat lepas, empat pendatang mati lemas di Boulogne-sur-Mer apabila kapal mereka karam, manakala berpuluh-puluh yang lain berjaya diselamatkan oleh tentera laut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN