fb fb fb fb fb

Mexico catat 155 kematian akibat gelombang haba sejak Mac

Kelihatan orang awam menggunakan payung melindungi diri mereka daripada matahari di Guadalajara, Mexico, ketika cuaca panas terik melanda negara itu/Foto AFP

MEXICO, 21 Jun - Sekurang-kurangnya 155 kematian dilaporkan akibat gelombang haba sejak Mac lalu.

Kerajaan Mexico berkata, pada minggu lalu sahaja, seramai 30 orang maut akibat kepanasan melampau.

Sekretariat kesihatan dalam laporan mingguan melaporkan, sekurang-kurangnya 2,567 orang menderita dengan pelbagai penyakit sepanjang musim panas yang bermula pertengahan Mac dan dijangka berterusan sehingga awal Oktober depan.

Pada 25 Mei, berpuluh-puluh bandar Mexico dilaporkan mengalami gelombang haba dengan rekod paras tertinggi mencecah 34.7 darjah Celcius di Mexico City.

Pada masa yang sama, fenomena peningkatan suhu itu telah menyebabkan berpuluh-puluh ekor monyet spesies howler mati yang dipercayai jatuh dari pokok-pokok di selatan Mexico.

Beberapa empangan juga kritikal, walaupun di beberapa kawasan Ribut Tropika Alberto dilaporkan hujan pada minggu ini.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh World Weather Attribution (WWA), gelombang haba yang melanda Amerika Syarikat, Mexico dan Amerika Tengah pada Mei dan Jun adalah 35 kali ganda berpunca daripada pemanasan global.

Kementerian Kesihatan Mexico memberi amaran bahawa kebanyakan negara akan terus mengalami suhu panas. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN