fb fb fb fb fb

Mesir benarkan 50 lori bahan api masuki Gaza setiap hari

Foto AFP

KAHERAH, 19 Januari – Mesir telah mengesahkan kemasukan 50 lori bahan api setiap hari ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada Ahad, kata Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty.

Abdelatty turut memaklumkan bahawa perjanjian gencatan senjata yang dirundingkan dengan bantuan Qatar dan Amerika Syarikat memperuntukkan kemasukan 600 lori bantuan ke Gaza setiap hari, termasuk 50 lori bahan api.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas dijangka bermula pada pukul 8.30 pagi (0630 GMT), dengan peningkatan aliran bantuan ke Gaza turut dirancang, menurut perantara.

Ketika ini, beratus-ratus lori bantuan telah berbaris di sebelah Mesir di sempadan Rafah, yang sebelum ini merupakan laluan penting untuk penghantaran bantuan namun telah ditutup sejak Mei selepas pasukan Israel mengambil alih bahagian sempadan Palestin.

Dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Nigeria pada Sabtu, Abdelatty menyatakan harapan agar 300 lori dapat dihantar ke kawasan utara Gaza, di mana ribuan penduduk terperangkap dalam situasi yang dianggap kritikal oleh agensi bantuan.

Pekerja kemanusiaan telah memberi amaran tentang cabaran besar yang mungkin menghalang kelancaran operasi bantuan, termasuk kemusnahan teruk pada infrastruktur yang sebelum ini digunakan untuk memproses penghantaran bantuan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN