KAHERAH, 19 Januari- Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada Sabtu, melibatkan pembebasan tebusan di Gaza.
Namun tentera Israel masih melancarkan serangan baharu ke atas wilayah itu sebelum perjanjian dijadual bermula pada Ahad.
Perjanjian tiga fasa itu bertujuan menghentikan perang selama 15 bulan antara Israel dan Hamas, yang telah menghancurkan Gaza serta mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin selain menggugat kestabilan Asia Barat.
Kabinet Israel meratifikasi perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menghentikan pertempuran dan membebaskan puluhan tebusan yang ditahan Hamas sebagai pertukaran dengan puluhan rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Tahap pertama perjanjian tersebut akan berlangsung selama enam minggu.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan Israel masih menunggu senarai tebusan yang akan dibebaskan dan berhak menyambung semula peperangan dengan sokongan Amerika Syarikat sekiranya tahap kedua gencatan senjata tidak berjaya.
"Jika kita perlu kembali berperang, kita akan melakukannya dengan cara baharu dan lebih kuat," kata Netanyahu dalam kenyataan video.
Sementara itu,di Gaza, jet pejuang Israel terus melancarkan serangan walaupun perjanjian telah dipersetujui, dengan serangan berterusan pada Sabtu.
Kereta kebal Israel menyerang bandar Gaza dan serangan udara memusnahkan kawasan tengah dan selatan Gaza, menurut penduduk.
Pasukan perubatan di Gaza melaporkan lima orang terkorban dalam serangan udara yang mengenai sebuah khemah di kawasan Mawasi, barat bandar Khan Younis.
Tentera Israel menyatakan sejak Jumaat, mereka telah menyerang pejuang Hamas dan Jihad Islam yang termasuk dalam 50 sasaran pengganas di seluruh Gaza.
Hampir 47,000 orang telah terkorban sejak perang bermula, menurut kementerian kesihatan Palestin, termasuk 123 orang yang terbunuh dalam serangan Israel sejak perjanjian gencatan senjata diumumkan pada Rabu, menurut perkhidmatan kecemasan.-REUTERS.