MAIDUGURI, 19 Januari – Sekurang-kurangnya 70 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam satu insiden di negeri Niger, Nigeria, apabila sebuah lori tangki minyak petrol terbalik sebelum meletup pada Sabtu, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Negara (NEMA).
Kejadian tragis itu turut memusnahkan lebih 15 kedai berhampiran, dan usaha pencarian mangsa yang terkorban masih diteruskan oleh pihak berkuasa.
“Setakat laporan ini, lebih 70 mayat telah ditemui, 56 individu cedera, dan lebih 15 kedai musnah,” menurut kenyataan NEMA.
Ini bukan kejadian pertama seumpamanya. Pada Oktober tahun lalu, satu letupan serupa di negeri Jigawa meragut 147 nyawa, menjadikannya salah satu tragedi terburuk dalam sejarah Nigeria.
Menurut Kumar Tsukwam, Komander Sektor Kor Perkhidmatan Jalan Raya Persekutuan negeri Niger, kebanyakan mangsa adalah penduduk tempatan yang miskin, yang bergegas untuk mengambil petrol yang tumpah selepas lori itu terbalik.
“Orang ramai berkumpul dalam jumlah besar untuk mengambil petrol walaupun usaha telah dilakukan untuk menghentikan mereka,” jelasnya.
Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran, namun kemusnahan telah pun berlaku.
Kejadian seperti itu sering berlaku di Nigeria, pengeluar minyak terbesar Afrika, yang kini bergelut dengan krisis kos sara hidup paling teruk dalam beberapa dekad.
Harga petrol di negara itu melonjak lebih 400 peratus selepas Presiden Bola Tinubu memansuhkan subsidi lama pada Mei 2023.
Bologi Ibrahim, jurucakap kepada Gabenor negeri Niger, mengingatkan penduduk agar lebih mementingkan keselamatan apabila berdepan insiden melibatkan lori tangki minyak.-REUTERS