KAHERAH, 27 Disember - Mesir menyertai Turkiye, Somalia dan Djibouti dalam pengiktirafan Israel terhadap Somaliland sebagai sebuah negara merdeka, menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir pada Jumaat.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa menteri-menteri luar keempat-empat negara mengadakan perbualan telefon susulan pengumuman Israel berhubung pengiktirafan wilayah berkenaan.
“Menteri-menteri berkenaan menegaskan penolakan dan kecaman sepenuhnya terhadap pengiktirafan Israel ke atas wilayah Somaliland, serta menyatakan sokongan penuh terhadap perpaduan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka turut menolak sebarang tindakan unilateral yang boleh menjejaskan kedaulatan Somalia atau menggugat asas kestabilan negara itu, selain menentang usaha mewujudkan entiti selari yang bercanggah dengan kesatuan negara Somalia.
Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, sejak sekian lama berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa, namun masih dianggap sebahagian daripada Somalia oleh kebanyakan negara.
Sementara itu, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara Teluk turut mengecam langkah Israel, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius prinsip undang-undang antarabangsa dan pencabulan nyata terhadap kedaulatan serta keutuhan wilayah Somalia.
Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi, berkata pengiktirafan tersebut berbahaya dan boleh melemahkan asas kestabilan di rantau Tanduk Afrika serta membuka ruang kepada peningkatan ketegangan dan konflik.
Beliau menambah, langkah itu turut bercanggah dengan usaha serantau dan antarabangsa bagi memperkukuh keamanan dan keselamatan global di rantau berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang beribu pejabat di Arab Saudi turut menyuarakan penolakan tegas terhadap tindakan Israel, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia.
OIC menegaskan solidariti penuh bersama Somalia serta menekankan kepentingan mengekalkan keselamatan, keamanan dan kestabilan di rantau Tanduk Afrika, selain menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau. - AFP