fb fb fb fb fb

Menteri Pertahanan Croatia diberhentikan selepas terlibat kemalangan

Mario Banozic/AFP

ZAGREB, 12 November- Menteri Pertahanan Croatia, Mario Banozic diberhentikan daripada jawatannya itu selepas terlibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan seorang pemandu van maut.

Perdana Menteri, Andrej Plenkovic memberitahu sidang akhbar bahawa Banozic, 44, kini berada di hospital akibat kecederaan serius.

Banozic, menteri pertahanan sejak 2020, berada di dalam kereta peribadinya ketika meninggalkan bandar timur Vinkovci apabila beliau berlanggar dengan sebuah van dalam kejadian semalam.

"Anda telah mendengar berita kemalangan itu dan kami menyatakan kekesalan serta kebimbangan mengenai keadaan menteri yang dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius.

"Saya telah melepaskan beliau daripada tugasnya sebagai menteri pertahanan," kata Plenkovic.

Banozic mengalami kecederaan serius di kepala dan dikejarkan ke hospital namun nyawanya tidak terancam, kata Jurucakap Kerajaan, Marko Milic sebelum ini. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA