(Menteri Minyak Venezuela, Tareck El Aissami /AFP)
CARACAS, 21 Mac- Menteri Minyak Venezuela, Tareck El Aissami meletak jawatan pada Isnin selepas pendakwa raya membuka siasatan rasuah ke atas pegawai di syarikat minyak negara PDVSA.
Polis antirasuah pada Ahad menahan dua orang yang mempunyai kaitan rapat dengan El Aissami; pegawai tertinggi PDVSA Antonio Perez Suarez dan Joselit Ramirez, yang menguruskan dana industri minyak melalui mata wang kripto.
"Memandangkan penyiasatan telah bermula terhadap tindakan rasuah yang serius dalam PDVSA, saya mengambil keputusan untuk menyerahkan peletakan jawatan saya sebagai menteri minyak dengan tujuan menyokong sepenuhnya proses siasatan ini," tulis El Aissami di Twitter.
El Aissami, yang telah memegang jawatan itu sejak April 2020, menambah bahawa beliau sangat menyokong 'perang' kerajaan menentang rasuah.
Pihak berkuasa telah menyiasat pegawai berpangkat tinggi "yang berpotensi terlibat dalam rasuah dan penyelewengan yang serius", kata pasukan polis negara.
Penggubal undang-undang Hugbel Roa adalah antara yang ditahan, bersama seorang peguam terkemuka, seorang hakim antikeganasan dan seorang datuk bandar.
Ia bukan siasatan rasuah pertama membabitkan syarikat minyak negeri itu.
Bekas menteri minyak sebelum ini, Eulogio Del Pino dan Nelson Martinez, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, sebelum ini ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.-AFP
(Syarikat minyak Venezuela PDVSA)