fb fb fb fb fb

Menteri Luar Zambia letak jawatan selepas dikaitkan dengan ahli perniagaan China

Menteri luar Zambia, Stanley Kakubo/REUTERS

 MOSCOW, 27 Disember- Menteri luar Zambia, Stanley Kakubo meletak jawatan pada Selasa selepas dituduh di media sosial berhubung dakwaan berurusan dengan seorang ahli perniagaan dari China, kata pejabat Presiden Hakainde Hichilema, lapor Sputnik.

"Presiden Hakainde Hichilema telah menerima peletakan jawatan ahli parlimen Stanley Kakubo sebagai menteri luar dan kerjasama antarabangsa.

“Presiden juga mengiktiraf kerja dan kepimpinan Kakubo," menurut kenyataan pejabat presiden yang dilaporkan oleh AFP.

Menurut kenyataan itu, presiden "meminta" Kakubo "untuk terus berkhidmat dengan tekun atas kapasitinya sebagai ahli parlimen".

Laporan itu yang memetik surat peletakan jawatan Kakubo menyatakan beliau meletak jawatan menteri luar berikutan isu yang sedang tular di media berhubung tuduhan berniat jahat ke atas transaksi perniagaan antara perniagaan peribadi keluarganya dan rakan perniagaan mereka.

Keputusan itu juga untuk memastikan usaha kerajaan dalam mencari penyelesaian memperbaiki kehidupan rakyat tidak terjejas.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu, diplomat tinggi berkenaan tular di media sosial berhubung dakwaan berurusan dengan seorang ahli perniagaan dari China, termasuk video yang menunjukkan dua orang mengira timbunan wang tunai yang disusun di atas meja.

Selain itu terdapat imej nota tulisan tangan yang ditandatangan bertarikh 8 Julai, 2022 yang menyatakan firma perlombongan China dan firma perlombongan Zambia "melakukan pertukaran US$100,000".

Syarikat China terlibat secara besar-besaran dalam industri perlombongan Zambia dengan Beijing merupakan pengimport utama tembaga Zambia.- BERNAMA-SPUTNIK

 

ROSLINA BINTI DIN