fb fb fb fb fb

Menteri kewangan UK ikrar 'bangunkan semula negara'

Rachel Reeves / FOTO AFP

LIVERPOOL, 23 September- Menteri kewangan UK, Rachel Reeves, pada Isnin berjanji untuk "membangunkan semula Britain" selepas 14 tahun kepimpinan Konservatif, sambil memberi amaran tentang "keputusan sukar" dalam ucapannya di persidangan Parti Buruh.

Ucapan tersebut, yang dibuat lebih sebulan sebelum pembentangan belanjawan terperinci pertama Parti Buruh yang kini memerintah, akan diperhatikan secara teliti oleh para pelabur di tengah kebimbangan kenaikan cukai.

Kerajaan yang dipimpin oleh Keir Starmer, yang menjadi perdana menteri selepas kemenangan besar oleh Parti Buruh dalam pilihan raya umum pada Julai, menyalahkan pentadbiran Konservatif yang tewas atas kelompongan bernilai £22 bilion (AS$28 bilion) dalam dana awam.

Hutang negara UK pada Ogos mencapai tahap tertinggi sebanyak 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, tahap yang tidak pernah dicapai sejak awal 1960-an.

Starmer sebelum ini telah memberi amaran kepada rakyat Britain bahawa pengumuman belanjawan pada 30 Oktober akan "menyakitkan", dengan jangkaan kenaikan cukai dan pemotongan perbelanjaan.

Reeves dalam ucapannya hari Isnin berjanji untuk membentangkan "belanjawan yang akan membina semula Britain dan menunaikan perubahan yang dijanjikan oleh Buruh", serta menjadikan pertumbuhan ekonomi sebagai "misi nombor satu" kerajaan.

Tatkala keputusan sukar akan diambil, beliau menegaskan dasar penjimatan tidak akan dilaksanakan dan tiada cukai akan dinaikkan untuk pekerja.

Buruh telah berjanji untuk memansuhkan elaun bahan api musim sejuk untuk 10 juta pesara keputusan yang dikecam hebat.

Sharon Graham, setiausaha agung kesatuan sekerja Unite, mengkritik apa yang disebutnya sebagai "dasar kejam" Starmer.

"Keutamaan yang saya ingin dengar daripada beliau ialah dia akan membalikkan keputusan untuk memansuhkan pembayaran tambahan itu, " kata Graham kepada Sky News.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE