fb fb fb fb fb

Menteri Kehakiman Perancis tegas banteras aktiviti dadah

Foto AFP

PARIS, 16 April - Menteri Kehakiman Perancis Gerald Darmanin tampil dengan nada tegas pada Rabu selepas beberapa siri serangan menyasarkan kenderaan dan lobi bangunan yang dikaitkan dengan kakitangan penjara sejak hujung minggu lalu.

Gerald Darmanin dan Menteri Dalam Negeri Bruno Retailleau, sebelum ini berikrar bagi memperhebatkan usaha memerangi jenayah narkotik dan aktiviti berkaitan dadah.

Siasatan sedang dijalankan terhadap siri serangan yang bermula sejak hari Ahad, namun Darmanin menuduh individu yang terlibat dalam pengedaran dadah sebagai dalang utama.

"Jelas sekali mereka cuba menggugat kestabilan negara dengan cara menakut-nakutkan," katanya dalam temu bual bersama penyiar CNews/Europe 1 pada pagi Rabu.

"Mereka berbuat demikian kerana kita sedang mengambil tindakan terhadap kelonggaran yang selama ini wujud dalam penjara," tambah beliau.

Pada awal pagi Rabu, penyerang membakar tiga buah kereta termasuk sebuah milik seorang pengawal penjara di bandar Tarascon di selatan Perancis, menurut kenyataan pendakwa raya tempatan.

Sebuah lagi kereta milik pengawal penjara yang bertugas di penjara berhampiran Aix-en-Provence turut dibakar di luar rumahnya, menurut wakil kesatuan pekerja penjara.

Di wilayah Seine-et-Marne berhampiran Paris, huruf "DDPF" singkatan bagi "Hak Banduan Perancis" telah diconteng di pintu masuk bangunan kediaman seorang pengawal penjara wanita, kata satu sumber polis.

Sebelum itu, 21 kenderaan telah diconteng atau dibakar sejak malam Ahad, menurut satu lagi sumber polis pada malam Selasa.

Kebanyakan insiden itu, termasuk kereta yang dibakar dan tembakan senjata automatik ke arah pintu masuk penjara berhampiran bandar Toulon di selatan direkodkan sepanjang malam Isnin hingga Selasa.

Darmanin berkata beliau sedang berusaha untuk membanteras "rangkaian dadah yang masih beroperasi dari dalam sel penjara."

"Mereka melakukan pembunuhan, cuci wang, mengugut pegawai polis, hakim, pengawal penjara dan mereka juga berjaya melarikan diri," katanya.

Darmanin kini mengetuai satu rancangan yang digelar sebagai “revolusi penjara,” yang menyasarkan untuk memenjarakan 200 daripada 700 pengedar dadah paling berbahaya di Perancis ke dalam dua penjara berkeselamatan tinggi bermula musim panas ini. - AFP

TETITIA YUSOFF