fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel, 10 lagi rakyat Palestin terkorban

Foto AFP

GAZA, 16 April- Beberapa rakyat Palestin dilaporkan terkorban dan cedera dalam siri serangan udara oleh pesawat perang Israel yang menyasarkan pelbagai kawasan di Bandar Gaza, sejak awal pagi Rabu.

Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), sumber perubatan memaklumkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah rumah milik keluarga Hassouna di Jalan Al-Nafaq dibedil.

Dalam serangan berasingan, tiga lagi mangsa terkorban apabila tentera penjajah Israel mengebom sebuah kediaman di kawasan Al-Sha'af, yang terletak dalam kejiranan Al-Tuffah. Beberapa lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.

Di selatan Gaza, artileri Israel turut menyasarkan rumah keluarga Al-Shawaf di bandar Abasan Al-Kabira, timur Khan Yunis. Bagaimanapun, tiada korban jiwa dilaporkan dalam serangan tersebut.

Serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023, telah meragut lebih 51,000 nyawa, majoritinya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita, manakala 116,343 orang lagi dilaporkan cedera dalam konflik tersebut.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di kawasan yang tidak dapat diakses oleh ambulans serta pasukan penyelamat.

Situasi kemanusiaan di Gaza terus meruncing, dengan penduduk terpaksa berhadapan serangan berterusan serta kekurangan makanan, bekalan perubatan dan kemudahan asas.

ROSLINA BINTI DIN