RAMALLAH, 15 Mac- Tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir yang melarang Perbadanan Penyiaran Palestin (PBC) beroperasi di Baitulmaqdis, dikecam.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), media rasmi negara itu menyifatkan larangan berkenaan sebagai tindakan agresif; menghalang kakitangan PBC melaksanakan tanggungjawab mereka dalam melaporkan penderitaan rakyat negara tersebut.
Menurutnya, larangan terbabit adalah percubaan Israel untuk melakukan jenayahnya tanpa pengawasan kamera.
Ia jelas melanggar undang-undang serta norma antarabangsa yang menjamin kebebasan berpendapat dan bersuara.
Media Palestin menggesa pertubuhan hak asasi manusia dan institusi media, termasuk Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) untuk menolak keputusan berkenaan dan mengiktirafnya sebagai jenayah tambahan Israel terhadap kewartawanan Palestin.