JAKARTA, 26 Jun - Pasukan penyelamat Indonesia menemukan mayat wanita warga Brazil yang maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani.
Juliana Marins, 27 tahun dikatakan tergelincir sebelum jatuh dari tebing gunung tersebut ketika mendaki bersma lima rakannya, Sabtu lalu.
Mayatnya ditemukan pada Rabu dan mengambil masa enam jam untuk dikeluarkan berikutan kabus tebal dan lokasi kejadian yang curam.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Mohammad Syafii berkata, mayat Juliana dibawa keluar menggunakan pengusung ke pondok penyelamat terdekat dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Pada mulanya kami ingin menggunakan helikopter tetapi ia tidak dapat dilakukan disebabkan oleh keadaan cuaca,” katanya.
Rakaman yang dikongsi oleh agensi itu menunjukkan pasukan penyelamat cuba mengangkat mayat dari tebing menggunakan tali, di tengah-tengah kabus tebal.
Ahli keluarga mangsa telah dimaklum berhubung proses tersebut.
Gunung Rinjani adalah gunung berapi aktif terletak di wilayah Nusa Tenggara yang juga lokasi pelancongan popular di Indonesia. - REUTERS