MOSCOW, 10 Disember- Ketua perisikan asing Rusia, Sergei Naryshkin menyatakan bahawa Rusia hampir mencapai matlamatnya di Ukraine, dengan Moscow kini memegang inisiatif strategik di semua bidang dalam konflik tersebut.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022 telah menyebabkan puluhan ribu kematian dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Selain itu, turut mencetuskan krisis terbesar dalam hubungan antara Moscow dan Barat sejak Krisis Peluru Berpandu Cuba pada tahun 1962.
"Keadaan di medan perang tidak memihak kepada Kiev," kata Naryshkin, Ketua Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia (SVR), kepada penerbitan rasmi agensi perisikan itu, Razvedchik.
"Inisiatif strategik dalam semua bidang adalah milik kita. Kita hampir mencapai matlamat kita, manakala angkatan tentera Ukraine berada di ambang keruntuhan," tambahnya.
Naryshkin juga menyatakan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah kehilangan legitimasi dan "keupayaan untuk berunding".
Sebagai ketua badan perisikan utama yang menggantikan Direktorat Ketua Pertama era KGB Soviet, Naryshkin adalah salah seorang pegawai kanan Rusia yang mempunyai hubungan tetap dengan pegawai kanan Amerika Syarikat dan Barat.
Pandangan beliau memberikan gambaran tentang pemikiran di peringkat tertinggi Kremlin, yang melihat sokongan Barat terhadap Ukraine sebagai bukti bahawa Amerika Syarikat sedang berperang proksi dengan Rusia untuk menjatuhkan pemerintah Moscow.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump, pada Ahad menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan dan rundingan antara Ukraine dan Rusia diadakan untuk menamatkan "kegilaan" perang tersebut.
Zelenskiy pada Isnin menyuarakan hasrat untuk penyelesaian diplomatik konflik itu dan mencadangkan agar tentera asing ditempatkan di Ukraine sehingga negara tersebut dapat menyertai pakatan tentera NATO.
Moscow kini menguasai kawasan Ukraine dan sedang bergerak kehadapan pada kadar terpantas sejak hari-hari awal pencerobohan pada 2022.
Menurut sumber, tentera Rusia terus mara di medan perang, dengan pertempuran sengit berlaku di bandar Kurakhove dan Toretsk di timur Ukraine.- REUTERS