WASHINGTON, 25 Januari- Presiden AS, Donald Trump telah mengarahkan tentera AS untuk membenarkan penghantaran bom seberat 2,000 paun kepada Israel yang sebelum ini disekat oleh bekas Presiden Joe Biden, menurut sumber di White House kepada Reuters pada Sabtu.
Biden sebelum ini menyekat penghantaran bom tersebut kerana kebimbangan terhadap kesan yang mungkin berlaku kepada penduduk awam, terutamanya di Rafah, Gaza.
"Banyak 'barang' yang telah dipesan dan dibayar oleh Israel tetapi tidak dihantar oleh Biden kini sedang dalam perjalanan!" kata Trump di platform media sosial Truth Social tanpa memberikan butiran lanjut.
Trump dan Biden kedua-duanya dikenali sebagai penyokong kuat sekutu AS, Israel, walaupun Washington menerima kritikan daripada aktivis hak asasi manusia berhubung krisis kemanusiaan di Gaza akibat serangan tentera Israel terhadap kumpulan Hamas.
Gencatan senjata telah berkuat kuasa seminggu lalu dan membawa kepada pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan di Gaza oleh Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.
Sebelum pelantikannya pada 20 Januari, Trump telah memberi amaran bahawa akan ada 'balasan besar' jika tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza tidak dibebaskan.
Hamas telah menawan sekitar 250 tebusan menurut laporan Israel.
Serangan tentera Israel ke atas Gaza selepas itu telah menyebabkan lebih 47,000 orang terbunuh, menurut kementerian kesihatan Gaza dan membawa kepada tuduhan genosid serta jenayah perang yang dinafikan oleh Israel.
Ia juga telah menyebabkan hampir seluruh populasi Gaza kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan krisis kelaparan.
Washington menyatakan ia membantu Israel mempertahankan diri daripada kumpulan yang disokong Iran seperti Hamas di Gaza, Hizbullah di Lubnan, dan Houthi di Yaman.-AFP