fb fb fb fb fb

Mangsa maut bot karam di perairan Syria meningkat kepada 94 orang

(Penyerahan jenazah magsa yang sudah ditemui pada malam Jumaat dihantar melalui lintasan
sempadan Arida, sementara yang lain masih menunggu jenazah ahli keluarga mereka/REUTERS)



DAMASCUS, 25 September- Jumlah keseluruhan mangsa maut bot karam di pantai Syria yang membawa pendatang dari Lubnan meningkat kepada 94 orang.

Laporan televisyen kerajaan Syria menyebut kejadian berkenaan sebagai satu tragedi mengejutkan dan menggemparkan.

Jumlah korban meningkat sejak mayat pertama ditemui pada Khamis. Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi, menyifatkan bot karam itu sebagai tragedi yang menyayat hati dan pencarian mereka yang masih hilang tetap diteruskan selepas waktu malam.

Sekurang-kurangnya 14 mangsa yang terselamat sedang dirawat di hospital di Syria, manakala enam lagi dibenarkan keluar.

Dua mangsa masih dalam rawatan rapi di Hospital Al-Basel, lapor agensi berita rasmi SANA Syria sebelum ini.

“Jumlah kematian akibat bot yang karam di luar pantai Tartus telah meningkat kepada 94 orang,” kata televisyen kerajaan.

Tentera Lubnan berkata bahawa mereka telah menahan seorang warga Lubnan yang mengakui bertanggungjawab melakukan penyeludupan warganya baru-baru ini dari Lubnan ke Itali melalui laut.

Lubnan, sebuah negara yang menampung lebih sejuta pelarian daripada perang saudara Syria, telah terperangkap dalam krisis kewangan yang dicap oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang paling teruk pada zaman moden.

Hampir tiga tahun kejatuhan ekonomi telah menjadikan negara itu sebagai landasan sasaran untuk dituju oleh pendatang.

(Orang ramai mengarak jenazah mangsa tragedi bot pendatang karam di pantai Syria
semasa pengebumiannya di bandar pelabuhan utara Lubnan, Tripoli/ AFP)

150 orang dilaporkan berada di atas bot kecil yang karam di pelabuhan Syria Tartus, kira-kira 50 kilometer (30 batu) di utara Tripoli di Lubnan.

Mereka yang berada di atas kapal kebanyakannya warga Lubnan, Syria dan Palestin, dan termasuk kanak-kanak dan warga emas, kata PBB.

Keluarga mangsa di Lubnan mengadakan pengebumian hari kedua pada Sabtu selepas penyerahan jenazah magsa yang sudah ditemui pada malam Jumaat dihantar melalui lintasan sempadan Arida, sementara yang lain masih menunggu jenazah saudara mara mereka.

Di Tripoli, kemarahan bercampur dengan kesedihan apabila kaum keluarga mangsa menerima berita kematian orang tersayang.

Beratus-ratus orang berkumpul di kem pelarian Palestin Nahr al-Bared, utara Tripoli, untuk , turut serta dalam urusan pengebumian salah seorang mangsa. -AFP

Berita berkaitan
89 orang maut dalam tragedi bot pendatang Lubnan karam di luar pantai Syria

Media Baharu