NEW YORK, 25 September- Malaysia telah mengemukakan cadangan pembukaan pejabat UN-Habitat di Kuala Lumpur kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Cadangan itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pertemuan dengan Guterres di ibu pejabat badan dunia itu di New York.
Sekiranya dipersetujui, pejabat tersebut akan menjadi hab UN-Habitat di Asia Tenggara.
Jelas Perdana Menteri, memandangkan UN-Habitat tertumpu kepada proses pembandaran, sebuah pejabat perlu ditubuhkan di rantau Asean yang sedang pesat membangun.
"Kita tawarkan diri kita, orang lain tak tawar, jadi kita mendahului negara lain tapi bukan satu yang mudah sebab ia perlu persetujuan negara-negara Asean lain.
Jadi ni pandangan dari kita dan perlu bawa juga ke negara-negara Asean untuk kelulusan, kita akan tengok berapa kos dan sebagainya sebab UN-Habitat ini pun dapat bantuan negara anggota," katanya.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
Lokasi pejabat UN-Habitat di Malaysia wajar dipertimbangkan ketika ia diketuai oleh Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mengetuai pertubuhan tersebut.